wallpaper

20140706

e-novel- KU PENDAM SEBUAH DUKA - Bab 38


Bab 38
Durrah bersungut sendirian kerana lama menanti kepulangan Johan. Entah kemana pula Johan pergi. Jam sudah menunjukkan pukul 11.30 mlm. Tapi kelibat Johan masih lagi tidak kelihatan. Mana dia pergi?

“Nah sayang”. Johan menghulurkan satu bungkusan. Setelah bungkusan berpindah tangan, dia menjatuhkan dirinya diatas sofa. Penat!

‘Apa ni?’. Durrah membelek-belek bungkusan itu.
Dia kedapur mengambil pinggan.

“Kan Arrh nak makan sate kerang?, satu KL abang cari, nasib baik dapat”. Jelas Johan. Dia turut menghampiri isterinya yang sedang membuka bungkusan. Durrah melihat suaminya dengan hujung mata.

‘Kasihan, patut pun dia balik lambat’. Simpati melimpah ruah terhadap suaminya yang kepenatan.

“Kenapa tak cari kat kedai BATA aje?”. Durrah berlucuan. Segera Johan menarik pipi isterinya. Durrah mengelak. Mereka sama-sama ketawa.

“Loyar buruk ek?”.

“Terima kasih sayang…”.Ucap Durrah sebagai tanda penghargaan yang tulus ikhlas. Johan tersenyum. Barangkali dia puas hati kerana dia dapat mencari apa yang isterinya idamkan itu walaupun dia terpaksa semalaman keliling  KL mencari sate kerang.

“Eh, kenapa makan secucuk saja?”.Johan mengerutkan dahinya.

“Baunya teruklah, tak sedap langsung”. Durrah menolak  pinggan yang berisi sate kerang kepada Johan. Durrah bangun dan berlalu ke bilik air. Johan terkebil-kebil melihat gelagat isterinya. Dia menggaru kepalanya yang tak gatal.

‘Nak makan sate kerang?’.Dia bagaikan hendak muntah dengan baunya.


Johan mengusap-usap perut isterinya yang semakin membuncit.Kadang kala dia bercakap cakap dengan anaknya. Johan semakin galak bila anaknya bergerak-gerak seperti dia berinteraksi dengan papanya. Semakin seronok Johan melayani teletah ‘si kecil’ yang masih lagi dalam rahim isterinya. 

“Penat satu KL papa cari sate kerang tau baby, tapi mama tu makan secucuk aje, tak berbaloi betullah”. Johan komplen dengan anaknya. Johan semakin seronok bila anaknya memberikan tindak balas bila ianya di sentuh bagaikan dia juga sependapat dengan papanya. Durrah hanya ketawa.

‘Nak buat macamana, satu cucuk pun susah aku nak habiskan walaupun sebelum itu tekak ini begitu menggila nak makan sate kerang’.Bisik hati kecil Durrah. Dia tersenyum kerana dapat mendera suaminya mencari sate kerang. Tak pasal-pasal dia dapat dosa kering….

“Arrah tak sukalah dengan panggilan mama. Arrah lebih suka dengan panggilan ibu. Walaupun nampak macam kampung tapi bila dipanggil ibu, terasa lebih menyentuh hati dan lebih kemelayuan”.

“O.klah,  kalau macam tu abang tukar papa kepada ayah”. Bagus juga cadangan dari Johan itu. Benar-benar melayu. Ibu dan ayah.

“Betul tu, ayah lebih selesa, macam ayah abang tu, cool aje”.Durrah bersetuju dengan cadangan suaminya.

“Ayah tu cool aje Arrah kata? Arrah tak tengok  lagi kalau dia marah”.

“Iye ke?. Macam tak percaya aje, Arrah tengok ayah tu cool aje bila emak membebel”. Durrah ketawa bila teringat akan cikgu Jarah.

“Arrah lupa? Kan ayah tu dahulu guru displin kat sekolah? Pernah satu hari dahulu ayah tambat abang dekat pokok kelapa siap letak kerengga lagi. Meraung abang, punyalah takut dan sakit bila kerengga merayap ke satu badan abang. Mak Jarah pun tak berani nak lepaskan abang. Nek Som yang sebelah rumah tu yang lepaskan abang.”. Durrah bagaikan tak percaya. Tetapi bila dikenangkan pada zaman sekolah dahulu menurut budak-budak lelaki, sememangnya cikgu Jusoh amat garang. Tetapi sekarang ini, cikgu Jusoh cool sahaja. Mungkin dah pencen barangkali sebab itu dia lebih relax.

“Kenapa ayah buat macam tu?”. Johan tersengeh. Durrah membetulkan kedudukannya agar lebih selesa untuk mendengar kisah silam Johan..

“Abang curi buah manggia tok Bedu”. Durrah ketawakan Johan. Oh!begitu rupanya.

“Kat belakang rumah abangkan ada dusun buah-buahan?”. Durrah pelik. Sudah ada dibelakang rumah, apa perlunya dia mencuri?.

“Memanglah kat belakang rumah abang tu ada pokok buah-bahan, ada pokok durian, rambutan, duku, langsat tapi tak ada pokok manggis. Abang paling suka makan buah manggis.Suatu petang si Farid sepupu abang tu ajak abang dan kuncu-kuncunya ke kebun manggis tok Bedu. Pada mulanya abang takut juga nak perrgi tapi Farid kata tok Bedu tu sakit, dah beberapa hari dia tak pergi ke dusun dia. Abang dan Farid serta kuncu-kuncunya pun pergilah ke dusun tu.

Apa lagi, seronok sakanlah kami. Paling seronok dapat panjat pokok manggis yang rendang Pokok manggis kat dusun tu bukannya pokok manggis kampung yang tinggi melangit tu tapi pokok manggis veriati baru. Pokoknya rendang dan berbuah lebat. Masa sedang asyik kat atas pokok tu tiba-tiba tok Bedu datang dengan senapangnya. Apa lagi, kami semua bertempiaran. Pulak tu hanya abang sahaja yang  masih lagi di atas pokok. Dek kerana terperanjatkan tok Bedu yang telah melepaskan pelurunya diudara, abang panjat semakin tinggi pokok manggis tu, bukannnya abang terjun ke tanah dan cabut lari.

Bila dah panjat tinggi, nak turun pula tak reti. Akhirnya abanglah yang tertangkap dengan tok Bedu. Tok Bedu bawa abang jumpa ayah. Ayah apa lagi, tentulah dia marah. Dia malu sebab dia cikgu tapi tak pandai didik anak. Abang pun kena ikat kat pangkal pokok kelapa, siap ditaruk kerengga lagi….”. Mereka berdua ketawa  bila mengenangkan kisah silam sebagai anak  kampung. Lasak dan nakal. Berbanding dengan anak moden zaman sekarang, barangkali jika disuruh panjat tangga pun mungkin takut.

“Nakal juga abang ye?”.Johan tersengeh.

“Baby, nanti jangan nakal sangat macam ayah ye?”.Dia berbicara pula dengan anaknya.

“Tapi abang taklah senakal abang Johari”.

“Kenapa dengan abang Johari?”. Durrah pelik melihat Johan ketawa sambil menekan perutnya.

“Abang Johari kena tangkap dengan pak Dolah sebab dia mengendap kak Syidah mandi”.Terang Johan. Dia ketawa lagi. Entah apalah yang lucu sangat.

“Ah! Biar betul”. Durrah macam tak percaya. Johan ketawa lagi sambil menganggok-anggokkan kepalanya. Durrah  juga turut ketawa sama seperti Johan. Dia membayangkan wajah Johari yang serius itu sedang melakukan adegen yang Johan sebutkan tadi. Durrah ingat-ingat lupa, dahulu di zaman remajanya, dia mengenali Shidah yang boleh diketegorikan gadis yang cantik, ‘top 5lah’ katakan, menjadi kegilaan remaja-remaja lelaki mungkin termasuk abang Johari. Sehingga sekarang kak Shidah masih lagi cantik Cuma badannya sahaja yang agak berisi sesuai dengan jawatannya sebagai seorang ibu beranak empat.

“Arrah masih ingat lagi tak masa dahulu kat kampung orang suka buat bilik mandi kat luar atau sebelah dengan  rumah?, Cuma guna papan atau berdindingkan daum rumbia ”. Durrah hanya   menganggukkan kepala kerana rumahnya dahulu pun bilik airnya diluar rumah tetapi bila ayahnya meninggal dunia, emaknya telah mengupah seorang tukang rumah untuk membuat bilik air didalam rumah.

“Bila bilik air macam tu, senanglah orang nak skoding. Abang Johari dan kuncu-kuncunya pergi mengendap masa kak Shidah mandi waktu magrib. Mereka ingatkan pak Dolah ke masjid sebab diakan imam masjid. Kebetulan petang tu pak Dolah tak sihat jadi dia magrib dirumah sahaja. Apa lagi, dia nampaklah kerja diaorang tu. Bila pak Dollah sergah, semua lari lintang pukang. Tapi nasib abang Johari yang malang sebab dia tercebur dalam longkang sebelah bilik air. Dialah yang kena tangkap. Apa lagi, ayah naik anginlah. Bulan depan abang Johari kena masuk asrama”. Mereka berdua ketawa mendengar kisah itu.

“Macamana abang Johari boleh kahwin dengan kak Shidah? Diaorang kahwin ke lepas tu?”.

“Tak adalah, masa kat universiti abang Johari ada ramai kawan perempuan, playboy jugalah dia tu. Selepas dia habis  universiti abang Johari bekeja kat Kelang. Masa tu yang dia jumpa kak Shidah semula. Kak Shidah pula lepas SPM dia ikut abang dia duduk kat Kelang sebab duduk kat kampung asyik orang skoding aje.

Dah ada beberapa orang masuk meminang tapi dia tolak. Nak masuk universiti pula otak tak berapa bagus, tu yang ayah dia suruh dia ikut abang dia dan tolong abang dia di gerai makan abang dia kat sana. Nak dikatakan jodoh, satu hari abang Johari makan kat gerai kak Shidah, maka cinta lama berputiklah kembali….”. Johan bercerita lagi

“Masa balik kampung, abang Johari pun beritahulah kat mak yang dia nak kahwin dengan kak Shidah, ayah pun setuju lagipun ayah malu dengan  pak Dollah pasal kisah dahulu kala. Kak Shidah pun setuju. Kahwinlah mereka.” Ialah, kalau dah jodoh takkan kemana, jauh merantau pusing-pusing, alih-alih jodoh kat depan mata aje….

“Kak Shidah tu masih cantik lagi kan walaupun anak dah empat orang, Cuma badan dia aje yang berisi sikit. Senang hati kot”. Johan tersengeh mendengar omelan isterinya.

“Tapi walau macamana dia cantik sekalipun, cantik lagi isteri abang”. Durrah tersenyum dengan pujian dari suaminya.

“Cuma abang gelihati sikit dengan dia. Kalau dia pakai barang kemas tu sampai tak cukup lengan”. Sedap sahaja Johan mengutuk kakak iparnya.

“O.k apa? Daripada abang Johari tu buang duit kat tentu pasal kat dangdut ataupun kat kelab malam pada GRO tu, lebih baik dia salutkan kak Shidah dengan barang kemas. Emaskan satu pelaburan yang menguntungkan? Cuba tengok nilai emas sekarang ni, dari hari ke sehari nilainya sentiasa naik tak pernah pun turun. Kalau pun sikit aje. Kalau kita beli kereta besar yang mahal dan berjenama, dua tiga tahun selepas tu, nilainya akan turun”. Bagi Durrah adalah lebih baik begitu walaupun Johari seorang kontraktor yang berjaya, tetapi dia mesti ingat, didalam perniagaan pasti ada pasang surutnya.

Durah ada melihat satu segmen didalam TV3 yang mengisahkan seorang lelaki kaki dangdut  yang menghabiskan duitnya sekitar RM3,000.00 sebulan untuk minum dan membayar GRO pada setiap malam. Kalau dihitung panjang dia akan membelanjakan sekitar RM100.00 semalam dan biasanya menurut Durrah mungkin lebih dari itu.

‘Aduh! Aku kerja bagai nak gila pun tak dapat gaji macam itu’. Sungutnya. Sedia maklum, berapalah sen sangat gajinya kini. Namu dia bersyukur walaupun gajinya kecil, dahulu dia masih lagi dapat menampung kehidupannya di kota, memberi emaknya dan juga adiknya di university. Apa yang penting adalah keberkatan, bukan banyak atau pun sedikit. Jika wang kita dapat dengan cara yang halal, perginya wang itu pun dengan cara dan tempat yang baik, kalau sebaliknya…fikir sendirilah.! Ada betul?

“O.klah, abang bagi can Arrah menang malam ni, tapi Arrah mesti bayar dahulu”. Johan tersenyum. Ada agenda disebalik itu sebenarnya. Durrah pula mengerutkan dahinya.

“Mana ada undang-undang orang yang menang kena bayar? Selalunya orang yang menang dia dapat hadiah. Kalau orang yang menang dia kena bayar, baik tak payah…”.Johan ketawa dengan bicara isterinya.

“Kita buatlah undang-undang baru”.Johan tidak mahu kalah. Dia menggosok perlahan lengan isterinya. Dia bermain-main dengan gelang halus di lengan isterinya.

“Nanti kalau abang ada duit, abang belikan Arrah gelang yang besar macam tali kapal kat Bandar Hilir tu”. Gurau Johan. Mereka sama-sama ketawa. Tak dapat gelang sebesar tali kapal pun malam ini Johan akan membawanya belayar.



No comments:

Post a Comment