wallpaper

20140407

e - Novel - KU PENDAM SEBUAH DUKA - Bab 13

Bab 13


Akhirnya pagi yang mendebarkan tiba jua. Pagi-pagi lagi Salmah sudah mengarahkan agar pakaian malam yang Durrah pakai hendaklah di lemparkan ke atas atap selepas Durrah mandi. Petua supaya hujan berhenti. Yang gelihatinya bukan hujan berhenti, malah makin lebat jadinya.

Terdengar lagi kata-kata usikan dan suara-suara sumbang, ‘ini pengantin suka makan belacanlah ni’. Durrah hanya ketawa gelihati, kalau orang Melaka tak makan belacan, bukanlah orang Melaka namanya. Bukan sahaja masak asam pedas sahaja yang campur belacan, kalau boleh masak sayur tumis air pun nak di taruknya belacan.

Pagi ini Durrah berdoa panjang di atas sejadah, mudah-mudahan di perrmudahkan majlisnya nanti, diberi keberkatan, rumahtangga yang bahagia dan semoga dia menjadi isteri yang soleha dan menjadi dambaan suaminya.

Mujurlah hujan berhenti sebelum pukul 10.00 pagi. Entah bagaimanalah keadaan di luar rumah. Durrah hanya dapat mendengar hilai tawa, gurau senda jiran tetangga dan sanak saudara. Terdengar juga sekali-sekala suara Salmah ketawa gembira bila diusik kawan-kawannya. Mana tak suka, Salmah dapat menantu sulung bukan calang-calang orangnya, berbesan pula dengan cikgu Jarrah. Siapa yang tak kenal dengan cikgu Jarrah? Dan yang paling Durrah pasti emaknya gembira kerana Durrah akan berkahwin. Dengan siapa, itu jatuh no.2.

“Best kahwin musim hujan ni tau, sejuk aje….”."
" Sempat lagi Rita mengusik Durrah. Durrah membeliakkan matanya yang kuyu itu. Sudahlah matanya kuyu, di tambah pula mekap dan bulu mata palsunya, lagilah matanya seakan-akan tertutup, lagaknya seperti orang yang hendak tidur. Rita mentertawakan Durrah. Durrah memberikan kawannya satu cubitan. Syukurlah Rita datang awal, bolehlah dia menjadi pengapit pengantin. Nak di harapkan Aminah, dia sudah mabuk darat, uwek-uwek!.

Entah dengan siapalah Rita datang. Bila di tanya, katanya “biarlah rahsia”. Eh! Itu pun nak berahsia?

 “Aku malaslah nak jadi pengapit pengantin, nanti aku kahwin lambat…”. Durrah mengekek ketawa. Ada kepulak?

“Tak apalah, kan kau tu dulu dah kahwin?”. Durrah pula menyakat Rita. Rita tersengeh.

“Aku pun nak kahwin lagi, bosanlah nanti tinggal sorang-sorang, kau tu dah ada teman.”Katanya tulus.

“Ooooo, jadi, dialah yang hantar kau ke sini ye?” Durrah serkap jarang. Rita ketawa bahagia. Senangnya dia dapat pengganti.

 “Siapa?” Soal Durrah lagi, dia tak puas hati.

“Cantik kau Arrah, lip-lap,lip-lap lagi”.Puji Rita. Ingin lari dari membincangkan perihal dirinya. Untuk apalah membincangkan halnya dalam keadaan sekarang, sedangkan dia sendiri tidak tahu hala tujunya lagi. Rita membelek-belek baju pengantin dan selendang yang di pakai oleh Durrah.

“Oh, saja nak lari ye?” Rita tersengeh.

“Biarlah rahsia, kami kawan aje. tak payahlah nak korek rahsia lebih-lebih…”. Durrah pula tersengeh.

“Aku pun akan doakan kau bahagia Rita, insyallah moga-moga kita sama-sama bahagia dengan pasangan kita, asalkan dia tu bukan suami orang”. Rita hanya tersenge aje…. Dia faham, Durrah cukup marah kalau Rita melayan suami orang, tak ada penyakit,cari penyakit, katanya.

“Kau ‘berandam’ ye? Patut pun muka kau berseri-seri. Seri pengantin barulah katakan…” Soalnya lagi. Ingin lari lagi dari membicarakan soalnya. Tangan Rita membelek-belek pintalan anak rambut di sisi telinga Durrah dikiri dan kanan.

“Dah jangan usik, nanti jatuh pula seri aku”.Rita mengekek ketawa. Salah satu penyebab diadakan ‘mengandam’ adalah untuk mengetahui samada si pengantin perempuan masih agi ‘ada dara’ ataupun tidak. Ada sesetengah tempat, sewaktu upacara ‘mengandam’, wakil dari pihak lelaki ada turut menyaksikan supaya dia dapat memastikan yang pengantin perempuan itu masih lagi suci atau sebaliknya. Durrah menarik nafas lega kerana wakil dari pihak Johan tidak kelihatan semalam. Durrah sendiri tidak begitu yakin dengan upacara itu tapi dia malas nak membantah. Biarlah, asalkan hati emaknya puas!

“Emmmmm……putih tanda suci dan bersih, pengantin lelaki pun pakai putih juga ke Arrah?” Tanya Rita.

“Iyelah, takkan pakai hitam pula, nanti tak pasal-pasal jadi pengantin tahi cicak!”. Semakin kuat Rita ketawa mendengar omelan Durrah. Sebenarnya Durrah pun tak tahu, emaknya kata, nanti masa nikah pakai pakaian putih, Durrah pun belilah pakaian putih. Durrah pun tidak tanya emaknya putih apa, putih susu ke putih keju. Kopak jugalah duitnya RM250.00 untuk sehelai baju. Bagi Durrah, harga sebegitu memang mahal. Sepanjang hidupnya inilah pakaian yang paling mahal dia beli. Apa-apa pun ianya adalah kenangan untuknya nanti.


“Arrah, pengantin lelaki dah sampai”. Bisik Rita, sebentar tadi dia menjenguk ke serambi rumah. Semakin tidak keharuan hati Durrah di buatnya.

“Wow! Machonya macam George Clooney tap ini versi Melayu”. Kata Rita lag. Terasa degupan jantung Durrah semakin laju. Durrah hanya diam terpaku. Pernah dahulu saat ini ingin Durrah kongsi bersama besama si ‘dia’. Namun si ‘dia’ pergi jua meninggalkannya dan di saat ini Durrah merasainya bersama orang lain. Tapi entah mengapa hanya Durrah sahaja yang merasainya. Apakah yang Johan rasa?. Air mata Durrah mula mengalir dari mata kuyunya. Sebentar lagi dia akan menjadi isteri kepada seorang lelaki yang bernama Johan.

“Tak baik menangis masa ini”. Rita menyapu air mata Durrah supaya tidak di lihat oleh orang lain. Durrah hanya menganggukkan kepalanya, faham apa yang di maksudkan. Salmah datang menjemput Durrah ke ruang tengah kerana upacara akad nikah akan diadakan sebentar lagi. Nasir yang akan menjadi wali untuk Durrah kerana ayahnya telah tiada.

Durrah cuba mengangkat kepalanya untuk melihat bakal suaminya. Yang dia nampak hanya dari pandangan sisi. Segak orangnya, bersongkok hitam, berbaju putih dan bersongket hitam. Bakal suaminya tidak menoleh ke arahnya walaupun barang sekejap. Bersamanya juga ada beberapa orang kampung yang Durrah kenal, juga ada adik-beradik dan ipar-duai Johan. Dalam keadaan riuh rendah dan dalam keadaan hatinya yang tak keruan, Durrah tidak dapat mendengar butiran bicara lafaz akad nikah, yang dia dengar hanyalah kata ‘sah’ dari saksi-saksi yang ada.

‘Tandanya aku sudah sah menjadi isteri kepada Johan Arif bin Jusoh’ . Kata hati Durrah.

“Doa”. Rita menyiku lengan Durrah bila dia melihat Durrah ‘diam’ dan hanyut dalam dunianya. Cepat-cepat Durrah menadah tangannya, di dalam hati dia juga turut memanjatkan doa pada ILAHI agar pernikahannya ini akan berkekalan hingga ke akhir hayat dan di kurniakan cahaya mata buat penyeri rumah tangganya. Sedar-sedar Johan telah berhadapannya menghulurkan tangan.

“Tangan kau”. Bisik Rita. Kalut Durrah menghulurkan tangan menyambut wang mas kahwin yang telah di gubah menjadi sekuntum bunga mawar yang berada digenggaman tangan Johan. Mata mereka berpadu sejenak. Buat seketika, waktu seakan terhenti. Mungkin melihat aksi Durrah yang dalam kealpaan, Johan menarik tangan Durrah lalu menyarungkan sebentuk cincin dijari manis Durrah dan menghadiahkan satu kucupan didahi. Durrah tertunduk malu.

Durrah bersalaman dengan keluarga Johan termasuk cikgu Jarrah. Diciumnya pipi Durrah di kiri dan kanan. Durrah melihat wajah emaknya, ada air mata gembira di wajah tua itu. Durrah memeluk emaknya. Salmah menepuk-nepuk perlahan belakang Durrah, dia juga mengesat air matanya. Airmata gembira. Sememangnya hajat dan amanah yang tersandang di bahunya telah di laksanakan. Sekarang terpulang kepada suami Durrah pula untuk menjaga dan memberikan kasih sayang kepada Durrah.

“Tahniah Arrah, sekarang ni kau dah jadi isteri orang tau”. Rita mengingatkan Durrah. Ada kesayuan dalam nada suara itu. Durrah memeluk Rita dengan erat, sahabatnya yang banyak tahu tentang suka dan duka hidupnya.

 ‘Ya, aku sudah pun menjadi isteri kepada Johan Arif, seorang lelaki yang aku tidak tahu akan hati budinya.’ Bisik hati Durrah.

Persandingan akan berlangsung pada pukul 12.00 tgh. nanti. Mak andam sibuk menata rias Durrah dan di bantu oleh Rita. Bekebaya songket biru polos, bersanggul lintang.

 Adoi! Sakitnya kulit kepala bila rambut ditarik-tarik dan dililitkan pada tanduk kerbau lalu dicucuk sanggul di atasnya. Rasanya tinggi sanggul ini maunya satu setengah kaki. Mak datok, beratnya rasa macam nak patah leher di buatnya.!

‘Kalau tak di fikirkan hajat mak, mampus tak kuasa aku memakainya. Bukankah senang pakai sanggul ‘peranakan’, atau sanggul biasa yang ringkas ataupun tiara sahaja, kan nampak simple. Menyeksa betullah.’ Durrah merungut sendirian di dalam hatinya. Mukanya sudah nampak merah kerana menahan sakit apabila rambutnya ditari, berat, panas dan apa-apa lagi.

 ‘Seksanya jadi pengantin, manalah bestnya macam kata si Rita tu.’ Dalam diam Durrah mengutuk Rita.

“Betul ke tu tanduk kerbau Arrah?”. Tanya Rita inginkan kepastian.

“Entahlah, iyelah kot”. Durrah pun kurang pasti.

“Kesian abang Johan, parahlah dia nanti kau tanduk!” Durrah mencubit Rita. Rita menyeringai menahan sakit. Durrah menahan senyuman melihat muka Rita.


 Janji pukul 12.00tgh., tapi datangnya pukul 2.00ptg. tetamu telah ramai yang pulang termasuklah rakan sepejabat Durrah. Penyudahnya mereka tidak dapat melihat dan berkenalan dengan pengantin lelaki kecuali Rita, dia tetap setia menunggu sehingga majlis selesai.

Durrah teringat akan pertanyaan dari Ms Lim sebentar tad. “Hubby you kerja apa? Sama macam orang yang I cakapkan tu ke?”. Durrah ketawa dengan gurauan dari Ms Lim itu.


Durrah hanya memadang kehadapan di atas pelamin. Macam patung cendana sahaja lagaknya menahan berat di atas kepala, hendak menjeling teman sebelah, malu pula rasanya. Sesekali pengantin tersenyum mendengar usikan dan sakat-menyakat dari keluarga ke dua-dua belah pihak.

“Oh! Nganga besau sikit mulut kau Johan, aku nak sumbat engkau.” Latah nek Som bila pinggangnya di cucuk kak Senah.

“Budak bertuah, jatuh sentil tembakau aku dah!”. Makin galak dengan suara riuh rendah di hadapan pelamin mentertawakan nek Som yang tercari-cari sentil tembakaunya yang terjatuh kerana latahnya tadi. Pengantin di atas pelamin juga turut tersenyum dengan gelagat nek Som.

“Hei budak-budak! Tolong cari sentil tembakau nek.” Nek Som mengerahkan anak cucunya mencari sentil tembakaunya. Semua orang ketawa. Kedua-dua pengantin tersipu-sipu di atas pelamin menahan ketawa.

“Tak payahlah sibukkan sentil tembakau tu nek, kita tenyeh mulut pengantin dengan pulut kuning ni lagi bagus”. Kak Senah mengheret nek Som ke atas pelamin lalu mengambil seketul pulut kuning dan diletakkan ke telapak tangan nek Som. Nek Som meletakkan pula pulut kuning tersebut ke atas telapak tangan Durrah, lalu tangan itu di bawanya ke mulut Johan.

“Bukak mulut kau besau sikit Johan, kang aku masukkan kat hidung kau”. Kata nek Som dalam latahnya. Masing-masing ketawa bila melihat Johan mengerutkan dahinya kerana terpaksa menghabiskan seketul pulut kuning yang telah disumbatkan ke mulutnya. Bila tiba giliran untuk Durrah pula, dia hanya menggigit sedikit sahaja pulut kuning yang disuakan padanya.

“Mana aci macam ni nek!” Johan memprotes. Nek Som hanya tersengeh sambil menenyeh sentil tembakau yang baru diambil dari kocek bajunya.

 Selesai upacara suap-menyuap di pelamin, pengantin serta tetamu dari pihak pengantin lelaki di jemput ke balai untuk makan beradap. Suasana yang riuh rendah dengan bunyi sudu dan pinggan mangkuk yang saling berlaga berhenti seketika kerana masing-masing mula menyuapkan mulut dengan makanan dengan begitu khusyuk sekali. Apataknya dah pukul 3.00ptg. baru nak makan tengahari.

Durrah mula kekok bila disuruh buat adegan suap-menyuap untuk difotokan. Nganga ajelah….

Durah makan dengan agak perlahan, walaupun perutnya lapar tetapi seleranya seakan-akan mati. Lauk-pauk yang begitu menyelerakan di hadapannya tidak berdaya menarik nafsu makannya. Udang panjat nenas, ayam masak merah,ketam masak lemak cili api, daging masak dendeng, semuanya ada di hadapan mata tapi hatinya tidak teruja. Durrah menjeling ke kanan, dia melihat Johan makan dengan begitu sopan, dia menjaling ke kiri. Rita makan dengan begitu berselera sekali. Akhirnya, tangan Durrah hanya mencarik-carik nasi di dalam pinggannya.

 Selepas bersalaman dengan ipar-duai dan saudara mara Johan, Durrah ke bilik untuk menyalin pakaian.

‘Huh! Lega sungguh bila sanggul lintang dilucutkan dari kepala.’ Bisik hati Durrah, dia hanya menjeling Johan yang menyalin pakaian pengantin ke pakaian biasa. Johan hanya diam tanpa kata-kata.

Durrah sibuk menyusun barang-barang yang telah di gunakan sewaktu majlis sebentar tadi. Dari jauh dia melihat Johan turut sama mengemas kerusi meja di bawah kemah. Sememangnya di waktu ini, suasana begitu riuh- rendah bagaikan pesta bermain air, sambil mengemas sambil menjirus air. Habis pakaian Durrah basah. Durrah lihat pakaian Johan pun turut sama lencun. Durrah ketawa gelihati bila melihat Johan berlari menyorokkan diri dari disiram air sabun, yang menyiramnya bukanlah orang lain, kawan-kawan sekolahnya yang sekampung dengan Durrah. Terdengar mereka ketawa kerana telah berjaya memandikan Johan dengan air sabun. Buruk rupanya bila orang dewasa berperangai macam budak-budak.

Tetapi itulah yang seronoknya. Seronok dalam suasana kampung, kerja dibuat secara bergotong –royong, sambil bekerja sambil bermain air. Biasanya main jirus-jirus airlah yang paling popular. Ada juga yang mencalitkan arang ataupun ada di beberapa tempat, pengantin akan dicampakkan ke tengah sawah. Itu lagi haru. Tapi yang paling best dapat membuli pengantin membasuh periuk besar dan kawah. Biasanya acara suka-suka begini, masing-masing ‘sporting’. Tak kira pengantin mahukan saudara mara ataupun jiran tetangga. Di masa inilah pengantin hendak kenal dan bermesra dengan mereka. Durrah masih lagi ketawa melihat gelagat suku sakatnya yang tak kira muda atau pun tua, saling bekerjaran macam budak-budak, riuh-rendah di buatnya. Itulah cara orang dahulu menghilangkan rasa penat lelah selepas beberapa hari bergotong-royong menjayakan majlis kenduri kahwin.

Bukan senang nak buat kenduri kahwin ni, dahlah belanjanya besar, kerjanya pun memakan masa berhari-hari malah ada yang berminggu-minggu membuat persiapan. Ada tu, untuk memilih tema pun makan setahun. Tapi kahwinnya ada yang tak sampai setahun aje… Justeru itu, bila ada kes yang bercerai-berai sedangkan perkahwinan baru menjangkau setahun, dua, selalu orang akan berkata ‘rasanya belum hilang penat buat kenduri kahwin, mereka dah bercerai’, ianya sangat mendukacitakan.

“Ehem….”. Tangan Durrah terhenti dari menyusun pinggan mangkuk. Lamunannya pun turut terhenti. Dia memusingkan badannya. Dia melihat Johan tersenyum dan menggigil kesejukan.

“Saya nak balik rumah dulu, esok saya datang jemput awak”. Durrah hanya menganggukkan kepalanya. Pertama kali dia mendengar suara Johan. Durrah merenung langkah Johan satu persatu menuju ke keretanya sehingga kreta itu bergerak perlahan-lahan meninggalkan halaman rumah Durrah. Selepas magrib, tinggal Durrah sekeluarga sahaja.


“Arrah, kamu panggil Johan makan nanti lapar pula dia.” Oh! Rupanya emaknya tidak tahu yang Johan telah pulang ke rumah emaknya.

“Dia dah balik petang tadi mak”. Durrah memberitahu emaknya.

“Dia balik sini tak malam ni?”. Durrah mengelengkan kepalanya. Dia sebenarnya tidak sempat tanya Johan.

“Entah! Mungkin tak kot, dia kata esok dia datang jemput kita”. Itu janji Johan.

“Oh! Tak apalah, esok majlis kat rumah dia, tentu dia nak jumpa saudara mara dia kat sana malam ni”. Durrah tahu kata-kata dari emaknya itu hanya untuk menyedapkan hatinya. Kalau di ikutkan adat, sepatutnya Johan mesti bermalam di rumah ini. Tapi Durrah tak kisah, lagi bagus kalau Johan tidak ada, dapatlah Durrah berehat tanpa gangguan.

“Dahlah Arrah, pergilah makan, lepas itu jangan tidur lewat, esok nak bangun awal”. Pesan Salmah. “Baiklah mak”. Durrah segera ke dapur. Dia ingin segera makan dan cepat tidur. Badannya terlalu letih.


Keesokan paginya, pukul 10.00pagi mak andam telah datang untuk menyolekkan Durrah. Begitu juga dengan Johan. Sepasang songket hijau muda. Pengantin lelaki berbaju songket Melayu warna yang sama, berkeris serta tenggolok. Mungkin tenggolok ‘dendam tak sudah’, laksana seorang pahlawan dahulu kala. Di dalam hati Durrah sudah pandai memuji Johan.

‘Segaknya dia’. ‘Dia’ sama juga seperti semalam, diam seribu bahasa. Hari ini kepala Durrah agak ringan, tiada lagi sanggul lintang, yang ada hanya tiara comel menghiasi kepalanya. Ketibaan mereka di sambut meriah oleh pihak pengantin lelaki. Malah majlis di sini lebih meriah dari majlis semalam di rumah Durrah. Ada 4 buah kemah yang besar untuk tetamu dan sebuah khemah untuk pengantin. Pelaminnya pun di hias indah seakan-akan persandingan di dalam hotel pula. Segalanya warna keemasan. Ialah laksana raja. Nama pun raja sehari, segala-galanya membuatkan Durrah terpegun.

‘Em…. siapalah yang tak kenal cikgu Jarrah…. Kan semuanya mesti lebih dari orang lain .’ Puji Durrah di dalam hati. Suasana petang di sini tidak semeriah seperti di rumah Durrah semalam. Kalau di rumah Durrah, semuanya kerja di buat secara bergotong- royong dari orang-orang kampung tetapi di sini semuanya
menggunakan khidmat ‘katering’. Orang berduitlah katakan, dari sajian hinggalah segala kelengkapan perkahwinan menggunakan satu pakej yang lengkap. Johan serta kaum keluarganya hanya menjadi mandur memastikan kerja-kerja siap dengan sempurna.


Waktu malam, hanya tinggal mereka sekeluarga dan seorang dua sanak saudara. Sewaktu makan malam Durrah tidak banyak bercakap. Almaklumlah, dia belum serasi lagi dengan keluarga ini. Durrah lihat Johan pun tidak banyak bercakap.

‘Mungkin dia seorang yang pendiam’. Bisik hati Durrah. Ada kalanya perangai dan tingkah laku manusia tidak sama, ada yang semasa kecil agak nakal tetapi bila dah dewasa perangai berubah menjadi baik, ada pula yang sebaliknya dan ada pula sedari kecil sehingga dewasa jahat sentiasa. Itu yang payah tu.

‘Johan pula bagaimana ye?’. Durrah tak mampu untuk menjawab pertanyaan hatinya. Di sini pun Johan tidak menegur sapa dengan Durrah. Pandai-pandailah Durrah bawa diri. Mujur juga ada Jasmin. Dialah yang melayan Durrah, menyuruh Durrah itu dan ini. Tidaklah Durrah terasa begitu asing di dalam keluarga ini.

“Arah, lepas lap meja ni nanti Arrah bancuhkan seteko air kopi dan seteko air teh ye”. Jasmin sudah pun memberikan satu tugasan buat Durrah.

 “Air kopi tu biar pekat tapi kurang manis”. Durrah mengerutkan dahinya.

‘Pahitlah macam tu’ bisik hatinya.

“Siapa yang suka minum macam tu kak Min?”. Durrah lebih selesa memanggil Jasmin dengan panggilan kakak kerana sudah biasa walaupun jika mengikut aturannya, Jasmin hanyalah adik iparnya sahaja.

‘Adik ipar? Kelakarnya’. Macam tak percaya pula Durrah. Hatinya ketawa sendiri.

“Siapa lagi, abang awaklah, itu sebablah dia tu kepala angin”. Mengekek Jasmin ketawa dan mengutuk abangnya.

“Min tak baik cakap macam tu, nanti takut pula si Arrah ni.” Cikgu Jarrah menegur Jasmin dan membela Johan. Tak adil jika mengutuk orang yang tidak ada untuk membela diri.

“Johan tu taklah teruk sangat Arah, kalau kena gayanya cairlah kepala angin dia tu, lebih-lebih lagi kalau Arrah masakkan masakan kegemarannya, lagilah dia suka. Jangan dilawan cakap dia, kalau dia naik angin, jangan di layan, nanti mati kutulah dia tu.” Emak mertuanya memberi petua bagaimana hendak menawan hati anaknya yang bernama Johan.

“Abang Johan suka makan lauk apa mak?”. Durrah ingin mencungkil rahsia.

“Kari India maksudnya lauk kari yang tak menggunakan santan, masak stail mamak tu”. Jasmin menjawab bagi pihak emaknya.

“Itu sebabnya abang Johan tu nampak muda aje…Orang kata siapa yang selalu makan rempah ni, dia awet muda. Lagu pun makan rempah ni baik untuk kesihatan terutamanya untuk merawat kanser dan mampu mengawal tumor dan mereka yang makan banyak kari, mereka kurang berisiko terhadap penyakit itu. Di dalam kari, terdapat curcumin iaitu sejenis bahan kimia yang memberikan warna kuning dan mendapati ia mula membunuh sel kanser dalam masa 24 jam dan curcumin juga mampu meransang system imunisasi sel dalam penyakit angin ahmar”. Wah! Kagum Durrah dengan penerangan Jasmin. Lawyerlah katakan. Setiap patah perkataannya jelas dan nyata. Tiba-tiba Jaasmin ketawa.

“Alah Arrah, jangan risaulah dengan abang Johan tu, di tu nampak aje serius tapi o.k apa, loyalty,lovely,caring and kind, cuma egois sikit”.Jasmin menjelaskan serba sedikit tentang abangnya .

Entahlah, Durrah pun tak tahu apa yang hendak di kata, Cuma dia senyum sahaja. Setelah membuat seteko air teh dan seteko air kopi, Durrah menghantarkannya ke anjung rumah. Di situ ada ayah mertuanya, Johan adik-beradik serta beberapa orang saudara maranya. Durrah menuangkan air ke dalam cawan dengan berhati-hati.

“Jemput minum ayah,abang….”.


Bila beralih tempat tidur, mesti susah nak tidur, begitu juga dengan Durrah. Pusing kanan, pusing kiri, terlentang, telangkup semuanya salah. Segala aksi tidak menjadi. Mungkin bilik ini cantik sangat sehinggakan matanya tidak mahu lelap. Atau mungkin juga hatinya terlalu takut. Apa taknya, malam ini dia mula mendapat teman sekatil yang baru. Biasanya teman sekatilnya hanyalah Rita ataupun Asilah sahaja. Tetapi malam ini lain pula orangnya, lelaki pulak tu.

‘Kalau dia minta yang pelik-pelik macam mana ye?’. Durrah bergumam sendiri. Perutnya mula terasa tidak selesa.

‘Nak tipu Johan mengatakan dirinya uzur? Tapi Rita kata, orang macam Johan tu banyak pengalaman tentunya dia tahu aku tipu dia, alamak macamana ni????????’ Durrrah mengurut dadanya yang berdebar kencang. Dia masih lagi memujuk matanya supaya cepat lena.

Sedang dia berperang dengan perasaannya, tiba-tiba dia terdengar bunyi pintu di buka dari luar, cepat-cepat Durrah memalingkan dirinya mengadap dinding. Dapat Durrah bayangkan, Johan menutup pintu dan berjalan ke arah katil, duduk sebentar di birai katil, tentunya mengadap dia. Durrah dapat rasakan Johan merebahkan badannya di sebelahnya. Nasib baik ada bantal peluk pembahagi ruang. Berdegup-degap jantung Durrah, iramanya lintang pukang, ‘picingnya lari’. Terasa semput, sesak nafasnya.

Durrah menarik nafas panjang perlahan-lahan. Durrah terdiam mematikan dirinya. Lama! Dalam kesunyian malam, dapat Durrah dengar desahan nafas Johan. Perlahan Durrah menghitung satu perrsatu, tenang!.

Dengan perlahan Durrah mengalihkan kedudukan, menelentang mengadap lelangit katil. Durrah menjeling teman sebelah. Johan tidur dengan lena.

‘Tidur aku sekarang sudah berteman, tetapi mengapa temanku ini nampaknya tidak mesra’. Ratap hati kecil

Durrah. Tiba-tiba hati Durrah digigit rasa sayu, sepatutnya malam pertama adalah malam yang paling indah dalam hidup setiap pasangan, tetapi mengapa untuknya tidak. Alangkah indahnya jika malam pertama ini di kongsi bersama dengan orang yang di cintai. Entah mengapa Durrah teringat akan seseorang yang pernah berjanji ingin hidup dengannya dan orang itu jugalah yang memungkirinya dan melukakan hatinya. Begitu susah dan payah dia melupakan. Tiba-tiba air matanya mengalir…

‘Astagfiruallah……aku tak boleh memikirkan orang lain di waktu ini,’ Durrah memujuk hati.

5 comments:

  1. semoga durrah mengecapi kebahagiaan bersama johan..

    ReplyDelete
  2. heee.......bolehlah........

    ReplyDelete
  3. Replies
    1. Maaf Mona, sambungannya dah ade tapi tak sempat nak edit lagi, MET sibuk dengan cerita kanak-kanak pula

      Delete
    2. terima kasih Mona, Aiza dan sesiapa juga yang membaca novel MET ini...

      Delete