wallpaper

20140907

e-novel- KU PENDAM SEBUAH DUKA -Bab44


Bab  44

“Sorrylah Arrah, aku ada hal, tak dapatlah aku temankan kau”. Last minute pula Rita terpaksa menarik diri dari menemani Durrah bercuti di tepi laut. Nampaknya terpaksalah Durrah pergi sendirian. Dia tidak mahu tinggal sendirian dirumah bila minggu ini Johan bernikah. Dia bimbang dirinya tersasar bila sendirian. Bila ditepi laut, sekurang-kurangnya dia boleh melihat ragam manusia sambil mengambil angin.
Dalam sedar tak sedar dia memandu dan menyusuri jalan, sampai juga dia di tepi laut. Tetapi bukannya laut di P.D tetapi di
Tanjung Puteri. Macam tak percaya sahaja tetapi masih lagi menghirup angin Laut Selat Melaka.
Durrah mematikan teleponnya, dia hanyan membuat SMS kepada Johan dengan menyatakan dia telah selamat sampai tetapi dia tidak menyatakan dimana dia sebenarnya telah sampai. Selepas berehat sebentar dibilik, dia turun semula ke tepi pantai. Duduk sendirian diatas tembok sambil melihat laut. Ombak menghempas pantai, angin menderu, langit petang yang suram dan burung camar yang pulang, telalu asyik dan terpesona seketika dibuai perasaan.
Pemandangan laut sungguh indah dihadapannya. Nun jauh disana ada beberapa kapal berlayar, ada perahu nelayan yang terolang-aling dipukul gelombang, ada nelayan yang ‘menyungkur’ udang geragau. Keadaan dipantai ini agak ramai pengunjung, maklumlah cuti sekolah. Ramai ibubapa membawa anak-anak bermain dan mandi laut.
Dia tersenyum melihat kanak-kanak berlari bermain pasir.Riang! alangkah seronoknya menjadi kanak-kanak, tiada apa yang perlu dirunsingkan, hanya tahu makan,bermain dan tidur. Tetapi mungkin kanak-kanak dizaman sekarang, bukannya dizaman dia dahulu. Zaman kana-kanaknya dahulu penuh dengan tanggungjaawab.
Mungkin sebagai anak yatim, hidupnya sekeluarga berbeza dari orang lain. Waktu cuti sekolah bukanlah waktu untuk bercuti dan bermain tetapi waktu untuk dia membantu emaknya di kebun getah dan kesawah. Sedari kecil hidupnya penuh dengan dugaan dan kesusahan. Dia berharap moga hari depannya lebih cerah tetapi bila memikirkan keadaanya sekarang ini, dia bimbang untuk meletakkan harapan yang terlalu tinggi, bimbang jika kecewa. Namun dihatinya dia sering berdoa semoga anak-anaknya tidak mewarisi kesusahan dan keperitan hidup tanpa seorang ayah.
Punggungnya terasa sakit kerana terlalu lama duduk di atas tembok yang keras, dia mula berjalan menyusuri pantai sendirian. Kakinya bermain pasir yang putih dan halus.
“Sayang, seronokkan angin laut ni, anak ibu mesti sihat dan cergas, nanti bila keluar boleh bermain macam kawan-kawan tu…”. Durrah bercakap sendirian sambil mengusap lembut perutnya. Dia menyapu airmata. Sedih. Sememangnya patut dia berasa sedih.
Disini buat seketika ingin dilontarkan sejauh mungkin kenangan semalam bersama suaminya. Tapi mana mungkin dia dapat melenyapkan sepotong nama ‘Johan Arif’ dan sebuah cinta yang sentiasa membakar jiwanya.
Cinta! Durrah tersenyum. Dia tidak menyangka yang dia akan jatuh cinta lagi selepas dikecewakan oleh Fazlan. Cinta datang lagi buat kali kedua. Dan cintanya pada Johan lebih kuat dan mendalam jika dibandingkan cintanya pada Fazlan . Jika tidak kerana cinta, mana mungkin dia sanggup berkorban untuk orang yang dia sayang.
Durrah berbaring sendirian. Selepas makan malam, dia hanya berbaring sambil menonton TV. Durrah menutup TV. Tiada siaran yang dapat menarik perhatiannya. Dia berpusing kekiri dan kekanan namun matanya tidak mahu lena. Durrah melepaskan keluhan.
‘Abang sedang buat apa ek?’. Dia berrsoal jawab sendirian. Soalan yang bodoh. Tentunya Johan sedang menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang suami kepada Azreen. Mengikut kiraannya,  petang tadi Johan telah selamat bernikah. Dan semestinya dengan rasmi bermula hari ini Durrah telah mendapat madu yang sangat pahit rasanya. Bagaikan pisau menghiris hatinya. Pedih! Durrah menangis semahunya. Menangis kerana ini jalan yang telah dia pilih. Lama dia menangis. Menangis kerana Johan bukan lagi milik dia seorang.
Setelah tangisannya reda, dia berdiri di tepi tingkap. Jika tidak kuat iman, mahu dia terjun tingkap dari tingkat 5 ini. Dia memujuk hati dan beristighafar berkali-kali. Ternyata percutiannya disini tidak dapat merawat hatinya yang walang. Mana mungkin percutian ini dapat mententeram kan hatinya untuk menjalani hari-hari esok. Dan mana mungkin dia dapat melupakan suaminya buat beberapa hari ini kerana malam-malamnya sentiasa ditemani oleh suaminya kerana dialah bantal golek Johan, ditelinganya seringkali dibisikkan  teka-teki yang merapu dan cerita-cerita yang lucu sebelum terpejamnya mata….
                                        

XXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXX

“Arrah suka makan biskut kepala Begaim?”. Johan bertanya isterinya sewaktu mereka bersenggang di atas katil. Johan mula menarik selimut.
“Suka, dahulu kalau balik dari kebun getah kami selalu makan biskut kepala Begaim cecah dengan air kopi”. Durrah membayangkan biskut itu. Biskut kepala Begaim adalah biskut kering yang dibuat dari lebihan roti yang dipotong dan dikeringkan lalu dibakar. Ada yang disalut dengan gula dan ada yang tidak. Paling enak dimakan dengan air kopi.
“Arrah tahu kenapa orang menggelarnya biskut ‘kepala Begaim’?”.
“Entahlah bang, kenapa ek?”. Durrah kurang pasti.
“Arrah nak tahu? Sebenarnya orang yang jual biskut tu namanya mungkin Ibrahim ataupun Berahim, abang rasalah sebab itu orang sebut Begaim. Kepala biskut tu sama dengan kepala pak Begaim yang botak”. Mereka sama-sama ketawa.
“Apalah abang ni, main cakap aje, kalau tak betul nanti dia saman baru tahu…”. Johan masih lagi ketawa.
“Sorylah…abang gurau aje…tapi memang pun orang kampung kita panggil biskut tu dengan nama tu kan?”. Durrah menganggukkan kepalanya. Biskut itu memang popular di sana.
“Abang, Arrah nak makan biskut tulah…”emmm…mengidamlah pula!
“O.klah nanti bila cuti kita balik. Kita cari biskut kepala Begaim, kat sini tak ada, nanti kita beli satu lori buat stok. Arrah boleh makan tiap-tiap hari.”
“Tak mahulah makan banyak sangat, nanti kepala anak Arrah botak pula”. Durrah tidak mahu sambil mengeleng-ngelengkan kepalanya.
“Botak tu kan seksi?”. Mereka sama-sama ketawa. Durrah memejamkan matanya, Johan memintal-mintal rambut isterinya…. 
Durrah menekupkan mukanya kebantal. Badannya bergetar menahan sendu. Dia rindu pada Johan, rindu pada emaknya, rindu pada kampung halaman dan rindu pada biskut kepala Begaim. Perlahan Durrah bangun lalu menuju ke bilik air untuk berwuduk,  dia ingin bersembahyang dan berdoa pada Allah, dia bimbang melakukan pekara yang tak sepatutnya dikala hatinya yang tidak keruan.


Penat menyusri pantai sambil memungut anak-anak ketam pasir, Durrah berlabuh dibawah pohon. Dia memejamkan matanya sambil menghirup hamis pantai. Angin yang bertiup, suasana yang tenang sungguh mendamaikan.
Kadang-kala hatinya dipagut sunyi. Suara riang ria kanak-kanak yang bermain tidak dapat menghiburkan hatinya.  Semenjak datang kesini, dia telah mematikan telepon bimbitnya. Dia tidak mahu diganggu oleh sesiapa walaupun dari Johan. Hatinya berasa benar-benar sunyi. Sepatutnya dia berada disamping keluarga untuk memulihkan semangatnya bukannya bersendirian sebegini.
Tapi dia bimbang akan menyusahkan hati emaknya pula bila mengetahui perkara yang sebenar. Durrah tidak bercadang untuk memberitahu keluarganya mahupun keluarga mertuanya. Masalah ini biarlah Johan sendiri yang menyelesaikannya.
Tiba-tiba  mata Durrah tercacap pada seraut wajah. Seraut wajah yang pernah dirinduinya. Dan wajah itu yang telah memberikan seribu duka buat dirinya. Terkocoh-kocoh Durrah  membawa dirinya balik ke hotel.


Durrah berteleku ditingkap hotelnya sambil menghirup angin malam. Malam ini dia tidak berselera untuk turun mencari makanan. Dia mendengus perlahan. Hasrat hati ingin menghiburkan hati sendiri bila keseorangan tapi malangnya hatinya semakin rawan. Siapa sangka dia bertemu dengan Razlan sekeluarga ditepi pantai sedang mandi manda dengan anak-anaknya. Hampir 10 tahun, baru kini mereka berjumpa. Durrah pasti Razlan sedari akan keujudannya dipantai petang tadi kerana tiba-tiba pergerakan Razlan terhenti bila mata mereka berpadu.
Ah cinta! Ianya sungguh aneh. Dahulu dia pernah bersumpah akan belasah Razlan bila mereka berjumpa. Tetapi mengapa kini bila berjumpa, usah mengangkat tangan untuk menampar lelaki tersebut, untuk mengangkat mata dan memandangnya  pun Durrah tak mampu. Durrah mengambil tisu dan mengesat hidungnya.
Walaupun bersedih, namun Durrah tetap bersyukur kerana Razlan bertemu dengan perempuan yang boleh membahagiakannya. Dan dia pasti Razlan sedang berbahagia dengan isteri dan anak-anaknya. Bukankah kita akan rasa bahagia bila orang yang kita cintai itu berbahagia?


Johan macam cacing kepanasan. Segala kerja yang dibuat semuanya serba tak kena.
“Orang dapat bini dua punyalah suka, engkau ni macam ‘kucing nak beranak’ ni apasal? Arrah lari dari rumah lagi ke?”. Semak kepala Zarul bila melihat Johan gelisah dan mundar mandir kesana sini tak tentu hala..Zarul menyanyi lagu madu tiga.
“Seperti dunia ana yang empunya….”Zarul mengusik. Johan menjeling
‘Kau tak tahu dunia aku macam nak terbalik ni’. Gerutu hati Johan. Durrah mengotakan kata-katanya. Sudah tiga hari Johan tidak dapat menghubungi Durrah. Durrah mematikan teliponnya bimbitnya. Johan memujuk hati mungkin hari ini ataupun esok isterinya akan pulang kerana mengikut kata Durrah tempohari dia bercuti untuk  dua atau tiga hari. Masuk hari keempat, bila dia tidak dapat menghubungi isterinya dan Durrah masih tidak lagi pulang, dia mulai bimbang lebih-lebih lagi segala SMSnya tidak berbalas. Anginnya mula naik sampai ke kepala. Jika diwaktu ini Durrah berada di hadapannya, maunya dia menggigit telinga isterinya itu. Degil!
Masuk hari ke lima, Johan semakin resah bila isterinya belum lagi pulang. Kemana dia? Dalam kesibukan dengan kerja dia terpaksa juga pergi ke pejabat Durrah untuk mencari isterinya, mana tahu Durrah ingin melarikan diri darinya sekali lagi.
Namun dia lebih terperanjat bila diberitahu yang Durrah masih lagi bercuti dan Rita ada dipejabat, ini bermakna isterinya itu pergi bercuti seorang diri. Semakin tak keruan Johan. dia mengambil keputusan untuk menyusuri segala hotel,motel dan segalanya untuk mencari Durrah. Namun segala usahanya tidak berjaya kerana nama isterinya tidak terdapat dimana-mana hotel ataupun rumah tumpangan di sekitar pantai P.D. Kemana Durrah?  Tak mungkin Durrah balik ke kampung.


Durrah semakin gelisah. Semenjak dia bertemu dengan Razlan tempohari dia tidak lagi keluar dari bilik. Dia bimbang akan bertemu dengan Razlan. Durrah ketawa sendirian, entah mengapa dia harus melarikan diri dari Razlan kali ini, sedangkan dahulu dia begitu menggila untuk bertemu dengan Razlan. Ah hati! Ia sukar untuk dimengerti.
Durrah hanya makan roti dan dan makanan yang dipesan melalui telepon ke dapur hotel. Seleranya turut mati. Dia makan hanya sekadar untuk mengalas perut supaya insan didalam perutnya tidak kelaparan.
Ada kalanya Durrah berasa cemburu dengan kebahgiaan yang Razlan miliki. Jika dia bersama dengan Razlan adakah mereka akan bahagia seperti itu? Airmata Durrah berlinangan. Dalam masa yang sama dia berasa berdosa kerana mengingati dan merindui lelaki lain. Lantas sekoyong-koyong wajah Johan terbayang diruang matanya. Tiba-tiba dia begitu merindui suaminya. Dia membuka ‘inbox’ SMSnya.

‘sayang, Arrah di mana?’
‘kenapa # angkat H/P?’
‘pls.sayang jwb.call abg’
‘pulanglah syg.abg rindu’
‘pls.call abg.abg bimbangkan Arrah’
‘Arrah dimana?knp.Rita # ikut sama?’
‘pls.syg. jwb.call abg. Abg risau,abg rindu’
‘pls.syg.cepat balik. Kalau # abg.report polis’
Dan berpuluh-puluh lagi SMS yang ada…..
‘hei, hidup lagi ke tak?’

Durrah ketawa membaca SMS dari Johan yang akhir. Dia tahu Johan marah, Johan bimbang dan Johan rindu.
‘Arrah pun rindukan abang’. Kata hati Durrah. Lantas dia mencapai segala pakaian dan barang peribadinya lalu dimasukkan ke dalam beg. Dia ingin segera pulang bertemu Johan. bertemu dengan suaminya.
‘Benarkah abang Johan rindu dan masih lagi sayang padaku?’
Berapa peratuskah kasih sayang yang bakal dia perolehi dari Johan kerana sekarang ini kasih sayang Johan telah terbahagi dua. Tak mungkin 100%  lagi. Mungkin 50% sahaja atau 70% atau 30%?. Entahlah! Malas hendak melayan perasaan. Dia berharap tidak bertembung dengan Razlan lagi sewaktu dia keluar nanti.


No comments:

Post a Comment