wallpaper

20141014

e-novel- KU PENDAM SEBUAH DUKA- Bab 47

Bab  47

Kandungan Durrah semakin bertambah. Bukan sahaja badannya bertambah berat, terasa kaki dan tangannya mula membengkak. Ada ketikanya terasa kaki dan tangannya kebas dan terasa sakit. Dia melihat dirinya dicermin. Betapa hodohnya dirinya. Gemok,pendek dan bulat. Terboyot-boyot macam….
Durrah ke ruang tamu mencari Johan tapi tak ada rupa-rupanya Johan
duduk bersantai di balkoni. Durah memerhatikan Johan yang leka menikmati angin petang. Hari-hari minggu begini Durrah terasa bosan dirumah. Jarang sekali Johan membawanya keluar. Selalunya Durrah akan membuat juadah yang ringkas untuk minum petang.

Sebenarnya dia cukup cemburu bila Rita mengatakan yang dia seringkali terserempak dengan Johan dan Azreen makan-makan di tempat yang mewah dan membeli-belah di tempat yang ada ‘kelas’ bukannya di pasaraya yang biasa-biasa. Hati Durrah benar-benar rasa sedih kerana Johan tidak adil dengannya.
Hanya Rita sahaja yang tahu kisah rumahtangganya. Terperanjat monyetlah dia. Tapi apakan daya dia hanya mampu memujuk sahabatnya supaya banyak bersabar.

Dalam keadaan begini malah sejak akhir-akhir ini Durrah semakin sensetif. Ada kalanya dia berasakan Johan malu dengan dirinya yang macam peguin ini. Ada kalanya juga dia rasa tertekan bila Azreen selalu menyerangnya di talipon kerana Johan tersalah simpang atau tersalah giliran.

‘Macam aku yang ambil laki dia…’.Gerutu hati Durrah. Giliran yang disusun oleh Johan selalu lintang pukang kerana kerja Azreen yang tak tentu masa dan tempat. Itu belum diambil kira tentang kerja luar Johan. Durrah mengeluh perlahan.

Untuk tidak terlalu memikirkan keresahan hatinya, Durrah mencapai beg baja dari dalam almari. Dia mula membaja dan menggemburkan tanah didalam pasu-pasu bunganya. ‘Baja kalau selori pun beli tapi tak di taruk pada pokok, tak ada gunanya.’ Omel Durrah sendirian.

 Johan mengalihkan pandangannya ke arah Durrah yang sedang membaja menggemburkan tanah didalam pasu bunga. Dia tersenyum sendiri bila melihat isterinya yang terboyot-boyot itu tekun dengan kerjanya.
‘Macam peguin’. Kata hatinya. Senyuman masih lagi dibibirnya.

Tiba-tiba Durrah berpaling dan merenung Johan dengan pandangan yang tajam. Mata yang redup telah  bertukar menjadi bulat penuh ekspresif. Durrah sakit hati melihat senyuman dari Johan. Ianya bagaikan satu sindiran buatnya. Entah mengapa tiba-tiba dia terasa begitu.

“Abang kata Arrah peguin ye? Sebab itulah abang malu nak bawa Arrah jalan-jalan kan?”. Durrah mengesat airmatanya. Tiba-tiba sahaja airmatanya mengalir. Dia berlalu ke dapur.  

Johan tercengang. ‘Macamana dia tahu?’. Soal hati Johan. Johan bingkas bangun dan menyongsong isterinya ke dapur dan ingin memujuk Durrah. Dia melihat Durrah terbongkok –bongkok mencari sesuatu didalam peti ais.

“Maafkan abang, abang tak pernh malu nak bawa Arrah keluar dalam keadaan Arrah macam ini, abang ingatan Arrah tak larat nak jalan-jalan”. Johan lupa , perempuan tetap perempuan walau dalam keadaan apa sekali pun, shoping  dan berjalan makan angin tetap nombor satu. Dan tak hairanlah si Zarul pernah mengomel dengan dia kerana Aisyah pergi shoping walau masih lagi berpantang bersalin anak ke 3.

Johan masih lagi memujuk bila melihat Durrah tidak memberikan reaksi. Dia melurutkan jejarinya dibelakang Durrah yang masih lagi terbongkok-bongkok mencari sesuatu didalam peti ais.

“Arrah cari apa tu?” soal Johan.

“Carilah apa-apa yang boleh dimasak untuk minum petang”. Jawab Durrah perlahan.

“Tak payahlah masak petang ni, jom kita keluar. Kita shoping ke, baju baby pun banyak yang belum beli kan?”.Durrah hanya mematungkan diri. Merajuk!

“Please sayang. jangan macam ni. Beritahu abang Arrah nak makan apa. Emmm…”. Johan memalingkan badan Durrah. Dia melihat mata dan hidung isterinya merah. Tentu isterinya menangis sebentar tadi. Dia rasa bersalah kerana tidak perihatan dengan isterinya yang satu ini. Manalah dia tahu apa yang ada didalam fikiran Durrah. Dia bukannya ‘ahli nujum pak belalang’. Susah juga mendapat isteri yang suka memendam perasaan sebegini. Dalam hal begini ada baiknya Azreen kerana dia lebih berterus terang tentang keinginannya.

“Arrah nak makan KFC”. Johan ketawa kecil. Hanya KFC yang Durrah mahu bukannya makan dihotel  5 bintang seperti selalu permintaan Azreen. Johan rasa semakin bersalah, tidak mahal mana pun permintaan Durrah.

Sepertimana kata emaknya, orang mengandung ni sensetif. Ada kalanya dia melihat Durrah tiba-tiba menangis, bila ditanya, Durrah selalu mengatakan tidak ada apa-apa. Kadang-kala Johan hanya menggaru kepalanya yang tak gatal.

Johan tersenyum memandang Durrah yang telah siap berpakaian. Baju mengandung Moden Mama berwarna pink samar bertudung pink berbunga halus dengan solekan yang nipis. Nampak simple tetapi lembut sejuk mata memandang.

Johan menghulurkan tangannya lalu membawaa Durrah ke dalam dakapannya. Dia menjatuhkan hidungnya ke pipi kiri dan kanan Durrah.

“Emm…wanginya…”

“Dah jangan lebih-lebih, kata nak bawa Arrah jalan-jalan”. Durrah membeliakkan matanya, dia tahu apa maksud Johan. Johan ketawa tahu maksud Durrah.

Sebenarnya dihari minggu begini Johan lebih suka melepak dirumah kerana dihari-hari bekerja dia sibuk dengan urusan pejabat,urusan luar dan menguruskan dua orang isteri. Ianya begitu meletihkan. Justeru itu, bila tiba giliran Durrah dia lebih suka bersantai dibalkoni, melepak depan TV ataupun duduk merewang dengan isterinya, lebih-lebih lagi Durrah akan memasak, justeru itu dia tidak perlu keluar untuk membeli makanan.

Bila tiba gilran Azreen pula, dia terpaksa melayan Azreen dan terpaksa mengikut kemana mahunya kerana Azreen suka melepak dan makan-makan di hotel yang berbintang-bintang, paling tidak pun dia terpaksa menemani Azreen ‘window shoping’, namun kopak juga RM300,RM400 duitnya.

‘Bukannya senang beristeri dua…’.Johan mengeluh.
Durrah memandang Johan bila dia mendengar keluhan dari suaminya. Dia berasa bersalah kerana telah menyusahkan suaminya itu.

“Arrah minta maaf sebab selalu susahkan abang, Arrah tahu abang penat. Arrah….”Durrah tak dapat meneruskan kata-katanya bila airmatanya berjujuran laju. Puas dia menyapu airmatanya. Dia berkecil hati dengan suaminya bila mendengar keluhan dari Johan sebentar tadi.

“Kita balik aje bang, Arrah tak mahu KFC, barang-barang baby nanti Arrah pergi beli sendiri. Arrah tak mahu susahkan abang..”Durrah masih lagi menahan tangisannya. Johan serba salah. Dia memberhentikan keretanya dibahu jalan. Dia menarik Durrah agar rapat kesisinya. Tangannya mengurut lembut belakang isterinya.

“Sayang kenapa ni…sedikit pun Arrah tak susahkan abang selama ini. Abang yang sebenarnya selalu susahkan  Arrah. Arrah bersusah payah mengandungkan anak abang sepatutnya abang berterima kasih pada Arrah tapi sebaliknya abang terpaksa memberi Arrah madu yang pahit rasanya untuk Arrah telan. Tapi Arrah telan juga kerana Arrah kasihkan abang. Segala jasa baik Arrah tak mampu untuk abang balas. Dah sayang jangan menangis nanti baby kita ni cengeng macam ibunya”. Puas Johan memujuk isterinya. Mujurlah Durrah boleh dipujuk.


Selepas solat isyak, Durrah terkapar keletihan di atas katil. Dia mengalaskan kakinya dengan bantal golek supaya kakinya lebih tinggi bagi menghilangkan rasa-rasa lenguh kakinya. Johan datang duduk disebelahnya membelek-belek kaki isterinya.

“Eh! Kenapa kaki Arrah ni bengkak?”. Johan menekan-nekan kaki Durrah yang sembab itu. Sejak kebelakangan ini dia begitu sibuk dan jarang dapat membelek isterinya bila dia balik dalam keletihan.

“Sakit tak Arrah”. Johan membelek pula jari jemari Durrah yang turut sama membengkak. Dia memicit-micit pula jari-jemari itu.

“Sakit juga. Tangan ini kebas dan kadang-kala rasa bisa dan susah nak pegang barang-barang terutamanya waktu awal pagi”. Durrah meramas-ramas jari-jemarinya. Dia melihat jari-jemarinya yang kelihatan begitu hodoh sekali. Jarinya yang dahulu halus sudah berubah menjadi gemok. Dia tersenyum sendirian.

“Kenapa Arrah tak cakap dengan abang?. Esok kita pergi jumpa doktor, tanya dia, abang risau tengok Arrah macam ni”. Ada nada gusar pada suara Johan.

“Arrah tak mahu susahkan abang. Arrah dah tanya doktor, dia kata ini biasa bagi ibu-ibu yang mengandung, ada orang akan mengalaminya, ada yang tidak. Selepas bersalin nanti ia akan kembali normal. Doktor tak bagi ubat, dia suruh Arrah selalu exercise tangan dan kaki supaya peredaran darah tak tersekat”. Terang Durrah. Johan masih lagi membelek-belek kaki dan tangan Durrah bagaikan tidak percaya dengan penerangan dari isterinya itu.

“Mana ada susahnya. Arrah kena beritahu abang. Maaf sebab abang kurang belek Arrah sejak akhir-akhir ni”.  Durrah tersenyum dengan jawapan dari suaminya itu. 

Tiba-tiba telepon Johan berbunyi.

“Sorry Reen, Arrah tak sihat. Esok claim balik, kita lunch sama”. Johan menjawab panggilan telepon itu. Durrah tersenyum memandang Johan. betul kata P.Ramlee, ‘mesti pandai pembohong, mesti pandai temberang tetapi jangan sampai hai pecah tembelang’.

“Kenapa tak balik sana? Nanti dia bising, tak sukalah…”Durrah tidak suka Azreen bising ditelinganya bila Johan tersalah simpang tetapi bila Johan tersalah masuk ke simpangnya, tahu pula dia mendiamkan diri. Berbakul-bakul dia mengutuk Azreen didalam hatinya.

“Tak apalah. Malam ni abang nak temankan Arrah”. Johan bangkit, dia mencapai minyak angin lalu dia mula menyapu minyak tersebut ke kaki isterinya.

“Jangan banyak sangat bang, ada yang kibas kain ni karang”. Pesan Durrah. Ngeri, bila terasa kakinya dilumuri dengan minyak. Itu bukannya minyak masak tapi minyak Hijau. Pijarrr…….

“Em…Ni yang best ni kalau Arrah angkat kain”. Usik Johan. Tangannya masih lagi melata disekitar kaki Durrah. Dari kaki sudah naik ke peha. Durrah mula ketawa kegelian.

“Gelilah bang…”. Tukas Durrah. Dia memang tak suka orang mengurut atau mengusap kakinya. Geli. Johan ketawa. Lagi dia melatakan jari jemarinya ke badan Durrah.

“Ini macam….bukannya urut orang sakit tapi urut gatal aje ni….”. Usik Durrah. Johan ketawa.

“Abang tak kisah. Kalau Arrah larat, abang on aje….”. Johan membalas usikan Durrah. Durrah menampar lengan suaminya. Johan tergelak besar.

Handpone Johan berbunyi lagi.

“Pergilah balik sana. Nanti bukan aje abang kena marah, nanti Arrah pun kena marah dengan dia”. Rajuk Durrah. Mulut suruh pergi tapi hatinya berkata jangan!

“Nanti esok abang baliklah. Abang nak temankan Arrah malam ni. Kalau ‘dia’ telepon, Arrah jangan angkat”. Pesan Johan.

‘Senangnya dia cakap’. Omel hati Durrah.

“ Burung serindit terbang tinggi
   Hinggap mari atas peran
   Kalau berjanji janganlah mungkiri
   Nanti ada yang merana badan”  Berpantun pula Durrah malam-malam begini. Johan ketawa dengan pantun sindiran dari isterinya itu.

“Abang tak tahu nak balas pantun dari Arrah tu. Yang abang tahu, abang sayang sangat kat Arrah dan baby kita”. Johan mengusap perut Durrah. Baby didalam mula bergerak seolagh-olah tahu ayahnya membelai dia. Johan semakin seronok bermain dengannya. Terasa  bonggol-bonggol kecil yang tak dapat di lihat olehnya.

“ Ikan petutu dalam perahu
  Makan pulut berisi inti
  Betulkah tuan kata begitu
  Entah lain dimulut lain pula dihati”. Pantun lagi dari Durrah.. Johan ketawa.


“Sungguh. Apa yang dimulut abang, itulah dihati abang”. Durrah hanya mencemekkan bibirnya dengan jawapan dari Johan itu. Johan ketawa. Sungguh! Dia tak tipu.

3 comments:

  1. emm....dah baca komen lee...baru terasa cerita ini bernyawa...

    ReplyDelete
  2. Sungguh, saya setuju dengan puan writer. Sebagai pembaca senyap KPSD dari awal menyelami jiwa lara Arrah memberi impak kepada keinginan saya untuk mengikuti dari bab ke bab seterusnya.

    Saya begitu senang sekali mengikuti penulisan puan writer setakat bab terkini dengan lengok bahasanya, jalan penceritaannya, watak2nya, dialog gurau senda yang bersahaja. cuma yang saya nantikan adalah selitan dialog antara 2 madu ini. barangkali ada sedikit dialog sinikal antaranya..apapun adakah enovel ini akan berakhir diblog sahaja atau akan ada versi cetakan?.

    ReplyDelete
  3. cerita sangat menyentuh hati...seperti terasa kesedihan yang dialami oleh Durrah. Moga ada akhir yang bahagia buat Durrah...uwaaa,,,

    ReplyDelete