wallpaper

20140319

e-Novel- KU PENDAM SEBUAH DUKA-Bab 12

Bab 12

Sepatutnya malam ini, malam ‘berinai besar’ tetapi disebabkan Durrah bernikah esok hari, maka malam ini tidak di adakan majlis berinai besar. Durrah bernikah pukul 10 pagi esok dan terus sahaja hari langsung.
Cuma petang tadi sebelum waktu magrib mak andam datang untuk ‘mengandamkan.’ Durrah.Menurut emaknya ianya untuk upacara untuk menaikkan seri pengantin. Durrah hanya mengikut sahaja, tidak membantah bimbang emaknya berkecil hati. Biarlah emaknya buat apa yang di fikirkan perlu. Maklumlah Durrah anak sulung dan tentunya emaknya gembira nak menyambut menantu sulung. Tentu emaknya inginkan perkahwinan Durrah sama seperti perkahwinan anak-anak dara  orang lain di kampung ini, walaupun  Durrah tidak ada ayah.

Salmah menemani mak andam ke bilik. Durrah di arahkan duduk berteleku di depan mak andam selepas mandi dan membersihkan diri. Durrah ketawa kecil bila melihat mulut mak andam terkumit-kumit membaca mentera lalu disemburkan ke muka Durrah, dilalukan seketika dengan asap bara, kemudian itu anak rambut  Durrah di pintal dan diikat sedikit di kiri dan kanan di tepi telinga.  Durrah memandang emaknya. Salmah senyum meleret, tidak Durrah tahu apa sebabnya.

Mak andam turut ‘menepung tawar’ seluruh setiap penjuru rumah. Katanya untuk menghalang segala macam ‘benda’ yang kurang baik dari menganggu perjalanan majlis ini dan kedua pengantin baru. Durrah  hanya mengiyakan sahaja mak andam tua yang cukup terkenal di daerah ini. Kerjanya hanyalah ‘mengandamkan’ pengantin dan menepung tawar rumah pengantin manakala menatarias pengantin akan di lakukan oleh anaknya ataupun pekerjanya. Kiranya di kampung juga tidak ketinggalan menggunakan system ‘pakej’. Durrah tersenyum sendiri, berbagai cara yang digunakan dalam perniagaan, kreatif, asalkan mendatangkan  DUIT

                                         
Malam ini hanya tinggal  mereka anak beranak. 

“Nanti kak Arrah kena bagi Silah upah lebih sikit, penat tau orang giling inai, habis merah semua tangan orang. Ni tentu kawan-kawan orang ketawakan.” Asilah memuncungkan bibirnya sambil menginaikan jari-jemari kakaknya. Durrah tahu adiknya kalau diberi kerja lebih sikit, mulalah berkira.

“Yang kau susah-susah giling daun inai buat apa?, akak kan ada beli inai segera?”. Takkanlah Asilah tak nampak. Buat apalah buat kerja susah, kan kerja senang ada.

“Mak tak kasi, mak kata inai  segera tak cantik merahnya, merahnya  tak ‘menyala’.” Gelihati Durrah mendengar teori dari adiknya.

“Aha, mak rasa inai segera tu macam hitam aje warnanya dah tu cepat pudar, lagi pun dah ada pokok inai kat belakang rumah ni, kamu juga yang tanamkan? Nak buat apa membazir.” Durrah teringatkan pokok inai yang dia tanam di belakang rumahnya.  Pada suatu petang sewaktu dia berjalan kaki melintas rumah kak Rubiah, dia ternampak kak Rubiah sedang memotong dahan-dahan pokok inai, lalu dia pun minta sedahan dari kak Rubiah.

Dia membawanya pulang dan dicucuknya batang tersebut di belakang rumahnya. Masih ingat lagi kata-katanya pada pokok  inai tersebut ‘Iinai, hidup suburlah kau, nanti kalau aku nak kahwin, aku nak pakai kau’. Kebetulan hari itu dia baru balik dari Bandar Melaka bertemu dengan Fazlan. Tidak di sangka, dapat juga memakai inai dari pokok yang ditanamnya dahulu. Durrah tersenyum, hasrat hatinya dahulu tercapai cuma sedikit terkilan, pengantin lelakinya berlainan.

Malam ini juga Durrah terpaksa menadah telinganya mendengar pesanan dari emaknya Salmah. Pesan terakhir dari emaknya sebelum esok dia akan menjadi milik orang lain dan bergelar seorang isteri. Pesanan dan petua dalam rumahtangga yang ‘betul-betul kaw’. Asilah terkekeh ketawa, Durrah pula hanya mendengar dengan muka 10 sen manakala Nasir tersenyum sesekali ketawa kecil sambil menyandarkan dirinya di tiang seri, di tengah rumah. Merehatkan badan dan kaki tangannya yang keletihan setelah penat seharian sedari pagi  lagi hingga ke petang.

“Perkahwinan adalah satu ibadah. Pandang suami pun dapat pahala. Pegang tangan suami, maka gugurlah dosa-dosa kecil. Kalau belum kahwin kita pegang tangan lelaki, kita dapat dosa. Menjadi seorang isteri ni, bukannya mudah, ALLAH memberi ganjaran yang cukup besar, 70 kali ganda dari kiraan amal wanita biasa yang belum berkahwin. Dugaannya pun cukup besar juga. Rasulluallah pernah bersabda, ‘sekiranya dibolehkan manusia itu sujud terhadap manusia yang lain, nescaya aku akan suruh perempuan itu sujud pada suaminya’ .”

“Walaupun suaminya itu jahat?”. Asilah memintas kata-kata dari emaknya.

“Aduh!’ Terdengar jeritan halus dari bibir Asilah kerana telah dicubit oleh Salmah. Durrah hanya tersenyum dan menjeling Asilah.

“Selagi dia tidak melanggar syariat agama”. Jawab emaknya.

“Seorang isteri itu mesti banyak bersabar,  selalu mendahulukan suaminya dari orang lain dan dirinya sendiri. Selalu bemanis muka bila berhadapan dengan suaminya, merendahkan suara  bila berbicara, menjaga makan dan pakai suami denagn baik, melayani suami di kamar tidur…..”

“Seperti Geisha…”. Pintas Asilah.

“Aduh!” Jerit Asilah halus.

‘Padan muka kena cubit lagi’. Kata hati Durrah.

“Hendaklah sentiasa menghormati suami. Jangan memburukkkan suami dan jangan menjatuhkan  maruahnya di hadapan atau di belakangnya kerana seorang isteri itu adalah pakaian bagi suaminya dan suaminya pula adalah pakaian bagi isterinya. Orang dulu-dulu kata, kalau nak tahu suaminya, tengoklah isterinya dahulu, kalau isterinya teruk, teruklah suaminya dan begitu juga sebaliknya.”

“Sekiranya seorang isteri itu ikhlas kepada suaminya, mereka di janjikan pahala  sebesar pahala orang  yang berjihad selama dia mendirikan sembahyang 5 waktu, puasa di bulan ramadhan, memelihara kehormatannya, ALLAH akan membukakan pintu-pintu syurga  dan pilihlah mana-mana satu pintu yang kamu suka.”

“Jika seorang  itu mandi junub di pagi hari, ALLAH memberinya pahala bersedekah 1’000 ekor  kambing. Begitu banyak pahala yang ALLAH berikan kepada mereka yang mahu berkahwin.” Begitu bersemangat Salmah memberikan sesi ceramah, Durrah menjeling mak usunya yang menompang dagunya di depan TV.

‘Begitu banyak pahala seorang perempuan yang sudah berkahwin, takkan mak usunya tak pernah terfikir….? Soal hatinya.

“Yang pentingnya Arrah, jangan membelakangkan suami dalam segala hal. Kalau ada masalah carilah masa untuk berbincang, jangan bergaduh dan jangan keluar dari rumah tanpa izin dia. ALLAH dan para malaikat melaknat sesiapa para isteri yang keluar dari rumah tanpa izin suaminya sehinggalah dia balik.”  Salmah menyambung lagi,Durrah mennghembuskan nafasnya  dengan perlahan.

‘ Beratnya tanggungjawab sebagai seorang ister. Ingatkan senang. Kahwin gitu-gitu aje… ’. Omel hatinya.

“Beratnya tanggungjawab sebagai seorang isteri, malaslah nak kahwin kalau macam ni…” Asilah pula mengomel dengan emaknya.

“Mestilah, perkahwinan itu adalah tanggungjawab bukannya keseronokan. Sebab tu orang zaman sekarang banyak yang bercerai-berai bila usia perkahwinan dah melebihi 5 tahun  sebab masa itu isteri dah tak sempat nak bercantik dan melayan suami sangat sebab sibuk dengan anak-anak yang kecil, lebih-lebih lagi bila isteri bekerja, suami mulalah meragam, lebih suka duduk di kedai kopi dari di rumah, dan ada yang lebih teruk lagi layan perempuan lain di luar sedangkan di rumah isteri tak menang tangan dengan kerja-kerja rumah dan anak-anak.” Salmah membebel lagi.

Apa lagi yang harus Durrah buat selain tersenyum sendiri memikirkan adakah dia mampu menjadi seorang isteri yang  soleha dan memenuhi cirri-ciri seorang isteri yang di idamkan oleh seorang suami. Dan adakah  Johan pula dapat memenuhi cirri-ciri suami idamannya. Suami yang di waktu siangnya sibuk bekerja mencari nafkah buat keluarga dan pada malamnya pula duduk di rumah melayan Durrah dan anak-anak.

‘Bagaimanakah  nanti suamiku ek?’ kata hati Durrah.  Dia menyerahkan nasibnya di tangan takdir. Berdoa moga perkhawinan ini adalah sesuatu yang terbaik dalam hidupnya, seperti kata Rita. Hanya itu yang mampu dia buat.


“Eh! Gelapnya langit malam ni,  nak hujan ni. Ini mesti pengantin suka makan belacan.” Durrah ketawa mendengar teori mengarut dari Asilah. Adakah patut? .  Kalau jadi hujan, alamatnya lecaklah halaman rumahnya, tentu sukar sedikit majlis esok hari. Apa-apa pun kan hujan itu membawa rahmat dan berkat.

“Arrah, tidur dah malam, pagi-pagi esok nak bangun awal…..jangan di layan si Silah tu menyembang.”  Arahan dari  Salmah mesti Durrah patuhi.

“Jom Silah kita tidur”. Durrah menepuk-nepuk bantal kekabu emaknya untuk mendapatkan ‘mood’ dengan berhati-hati, bimbang inai di jarinya terjatuh. Moga-moga dia akan bermimpi yang indah. Tapi malangnya matanya masih lagi terkebil-kebil di malam yang sunyi dan sepi, sesunyi  dan sesepi hatinya.

“Kak Arrah…” La…belum tidur lagi budak ni….

“Eeeeemmmmm….”Sahut Durrah.

“Malam ni akak ingat abang Johan ke atau abang  Alan?”. Soalan dari Asilah malam-malam buta ni, menyenakkan hati Durrah. Telah lama dia belajar melupakan  Fazlan dan sejak akhir-akhir ini dia mula belajar menerima Johan.

“Fazlan masa silam akak, abang Johan tu masa depan akak….”. Dia tidak jujur dengan kata-katanya. Ada kalanya suara Fazlan masih lagi menganggu lenanya. Bukan mudah untuk dia melupakan suara itu, suara yang suatu waktu dahulu telah  memenuhi segenap ruang hatinya. Dan di suatu waktu dulu suara itulah juga yang mengiringi malam-malamnya.

 “Kalau dari dulu akak buangkan abang Alan dari hati akak, tentunya dah lama akak kahwin, agaknya dah beranak pinak  pun….”. Asilah masih lagi merepek.

“Silah ingat-ingat lupalah muka abang Alan tu….tapi  yang paling  Silah ingat muka dia macam pelakon hindustan kan kak?”. Durrah tidak menjawab pertanyaan dari adiknya. Dia cuba membayangkan wajah Fazlan yang telah lama tidak hadir di depan matanya. Ia hanya hadir dalam ilusinya. Tentunya wajah itu semakin matang seiring dengan usianya. 

Tiba-tiba rasa rindu pada Fazlan hadir lagi menyapa pantai hatinya, tanpa disedari air matanya mengalir lesu, segera di kesat bimbang Asilah sedar.  Tidak dinafikan dahulu bila Fazlan datang ke Melaka, dia selalu membawa Asilah sebagai penemannya, malah lebih tepat  sebagai ‘cover line’ apabila di tanya oleh emaknya nanti yang dia turun ke Bandar  Melaka adalah untuk membeli barang. Selepas itu terpaksalah Durrah merasuah Asilah dengan berbagai barangan makanan ataupun dengan peralatan sekolah.  Razlan turut membantu, adakalanya dia juga membawa barangan dari Johor untuk merasuah Asilah. Tentunya Asilah masih ingat-ingat lupa wajah Fazlan kerana di waktu itu Asilah masih remaja. 

Kenangan sememangnya amat menyakitkan. Hidup ini umpama lautan. Tidak lepas di pukul gelombang, ribut dan taufan dan adakalanya laut begitu tenang dan adakalanya dalam tenang tiba-tiba sunami sampai lalu meranap dan menenggelamkan segala keindahan yang ada sebelumnya. Durrah berharap akan  ada sinar baru yang bakal menerangi hidupnya selepas sunami melanda hidupnya walaupun sudah terlewat.

Dia memejamkan matanya sambil menyeru sepotong nama, ada getar didadanya……


2 comments: