wallpaper

20141213

e-novel- KU PENDAM SEBUAH DUKA- Bab 53

Bab 53

Sebelum balik ke KL. Johan singgah sebentar di rumah emaknya. Hatinya berdebar-debar menantikan peluru berpandu dari ayahnya. Peluru berpandu dari emaknya dia tidak hairan. Yang dia risaukan peluru dari ayahnya. Sememangnya ayahnya tidak banyak cakap dan menegur anak-anak tetapi bila sudah terbuka mulutnya…..terasa sakit pada sesiapa yang kena.

‘Tahan ajelah telinga ni, takkanlah  mereka nak bunuh aku…’ Bisik hati kecilnya menyedapkan diri sendiri.
Johan melihat kedua orang tua mereka berehat dianjung rumah. Bersantai. Bagaikan tiada apa yang berlaku. Mereka makan bersama.

“Arrah sihat Johan?”. Cikgu Jarrah mula berbahasa-bahasi. Dimatanya masih ada sisa marah '
'dari dalam jiwa tuanya.

“Rasanya tak berapa sihat sangat mak. Mukanya pucat, pergerakannya pun lambat. Makan nasi pun sikit aje tak ada selera lagi”. Johan juga menceritakan apa yang berlaku pada isterinya. Jika dia mengatakan isterinya sihat tentunya cikgu Jarrah tahu dia berbohong.

“Orang dalam pantang, memang ada kalanya tak lalu makan maklumlah darah banyak  dah keluar, segala macam sakit, bukan sahaja atas dan bawah sahaja yang sakit, hati juga sakit”. Cikgu Jarrah mula membuka kitab. Dalam baik anaknya disindir. Dilihat muka anaknya itu selamba sahaja. Jika diikutkan hatinya, maunya dilayat telinga anaknya itu biar tinggal sebelah.

Dia menjeling suaminya. Cikgu Jusoh tekun dengan surat khabar ditangan. Suaminya sudah berpesan padanya pagi tadi, katanya “Kalau Johan balik, jangan dibisingkan dahulu hal mereka. Johan tu dah besar panjang biarlah dia uruskan hal rumahtangga mereka. Kita dah carikan jodoh yang terbaik untuk dia. Kalau dah masalah mereka tak dapat diselesaikan barulah kita boleh tolong mereka”. Sebenarnya cikgu Jarrah tidak bersetuju dengan cadangan suaminya itu tetapi dia terpaksa akur, malas nak bergaduh disebabkan hal anak menantu.

“Kau tu Johan, nanti belikan Arrah tu ubat, makanan tambahan yang berkhasiat dan buah-buahan untuk Arrah supaya dia cepat sembuh dan sihat badan dia tu”. Johan hanya menganggukkan kepalanya tanda faham dengan arahan yang diberikan. Namun dalam hatinya dia berfikir, makanan apa yang berkhasiat dan sesuai dengan isterinya?

 “Mak ‘cike’ tu apa?”. Hendak juga Johan tahu apa maknanya.

“Cike’ tu bias perut. Sakitnya lebih sakit dari rasa nak bersalin. Orang tua-tua kata, cike tu berlaku bila darah ‘meroyan’ nak keluar. Orang bersalin bahaya jika sakit meroyan sebab boleh menyebabkan jadi gila. Sebab itu dalam pantang ni kena jaga betul-betul,  jangan bagi dia bersedih dan murung”. Panjang lebar cikgu Jarrah menerangkan pada anaknya. Johan walaupun sudah berusia manalah dia tahu benda-benda begini, isterinya dahulu tidak pernh bersalin.

“Kenapa? Arrah kena ‘cike’ ke?”.

“Aha, masa tu dia sedang makan, langsug dia berhenti makan”. Wajab Johan dengan polos.

“Mak kena ‘cike’ masa bersalinkan Jasmin aje. Masa bersalinkan yang lain mak tak kena. Kata orang, jika anak pertama kita kena ‘cike’, nanti kita beranak yang kemudian pun akan kena juga. Kena ‘cike’ ni tak sama. Ada yang kena sehari, tiga hari dan ada yang kena seminggu dan ada juga yang tak pernah kena. Kau bawa Arrah ke klinik?”. Dia melihat Johan mengelengkan kepalanya.

“Mak  Salmah bagi Arrah panadol aje, masa Arrah demam tu pun dia bagi panadol juga”. Jawab Johan dengan lagak bendulnya.

“Nanti bawalah Arrah ke klinik, mana boleh telan panadol aje kalau sakit..”. Cikgu Jarrah berjeda.

“Arrah demam susu ke?” Tiba-tiba cikgu Jusoh menyampuk. Johan mengerutkan dahinya. Demam Susu?...Oh! dia faham.

“Kau kena bayar isteri kau kerana dia menyusukan anak kau. Masa zaman Rasuluallah S.A.W, mereka mengupah orang untuk menyusukan anak mereka. Masa zaman sekarang banyak suami yang terlepas pandang. Dan ada kalanya menceraikan isteri waktu isteri mengandung dan tidak memberi nafkah. Usah kata nak beri duit susu, duit nafkah pun tak ada….”. Cikgu Jusoh mengeluh. Zaman sekarang banyak manusia yang lupa tanggungjawab. Lupa tanggungjawab pada Allah, pada ibubapa, pada suami/isteri, pada anak-anak dan tanggungjawab pada masyarakat.

“Baby meragam lagi?”. Johan mengangguk. Dia mengeliat dan meluruskan badannya. Sesekali dia menguap. Mengantuk!

“Bukan mudah nak membesarkan anak-anak. Dahulu kau pun macam tu juga, lagi teruk. Sakit kuning, semput dan macam-macam. Itu tak kira dengan nakal kau tu dari kecil sampailah ke besar, tak padan dengan semput…sekarang ni semput lagi?”. Johan tersengeh mendengar bebelan emaknya bila diungkit akan kenakalannya. Kecil nakalnya lain tapi bila dah besar, nakalnya lain pula.

“Dah jarang dah, sesekali aje…”. Kata-kata dari emaknya serba sedikit menyedarkan dia, bukannya mudah untuk menjadi seorang ayah dan suami yang baik dan bertanggungjawab. Lebih-lebih lagi dia mempunyai dua orang isteri. Dia seharusnya adil dan bertolak ansur dalam segala hal. Mengapa dia boleh bertolak ansur dengan Azreen tetapi tidak dengan Durrah. Adakah kerana sayang maka dia menjadi seorang dominan dan terlalu cemburu bila ada sesiapa yang mendampingi Durrah. Megapa dia tidak lagi berasa cemburu apa yang Azreen lakukan. Adakah telah hilang rasa sayangnya terhadap Azreen?

Dia teringat kata-kata bibik tempohari. Dalam sakit, Durrah tetap masakkan makanan kegemarannya dan menanti dia pulang untuk makan bersama. Durrah menanti sehingga tengah malam dia tidak pulang. Telepon pun tidak. Sehinggakan kata bibik “Puan bilang, tuan enggak sayang sama dia”.
Johan mengeluh. Dia telah bertindak zalim pada isterinya. Menghukum  isterinya hanya kerana kesalahan yang kecil. Dia risau Durrah tidak mahu lagi bercakap dengannya. Durrah hanya diam seribu bahasa.

‘Aku tak akan berputus asa untuk memenangi hatinya semula demi masa depan Juddin’. Tekad Johan didalam hati.

“Bukan senang nak menjadi seorang suami yang baik dan bertanggungjawab lebih-lebih lagi kau mempunyai dua orang isteri. Mesti adil dan saksama, jangan berat sebelah, kalau tidak diakhirat nanti bahu senget sebelah, ada juga hadis yang mengatakan badan akan lumpuh sebelah. Tanggungjawab kau semakin besar.
Arrah macamana? Dia tak marah-mara?” Tanya cikgu Jusoh lagi. Johan mengelengkan kepalanya.

“Arrah tak nak cakap apa pun dengan Johan”. Johan meraup mukanya yang keruh. Niat di hati nak sorokkan kisah mereka tapi lain pula yang jadi.

“Arrah tu merajuk. Masa Nasir balik sini hantar dia pun dia tak kasi beritahu kami yang dia dah bersalin. Ayah ni malas nak marah-marah kau. Kau tu dah  besar panjang, bukannya budak-budak lagi. Berfikirlah ikut akal, jangan ikut nafsu”. Pesan cikgu Jusoh lagi. Cikgu Jarrah hanya memandang suaminya.

‘Dia yang tak kasi membebelkan anaknya tapi dia pula yang buat’. Omel hati cikgu Jarrah.

“Kau dah fikirkan bila hari yang sesuai nak buat majlis cukur jambul dan akikah anak kau tu”. Suara cikgu Jusoh mematikan lamunan Johan. dia menggaru kepalanya  yang tak gatal, mencari ideal.

“Nantilah dahulu, Johan belum fikirkan lagi. Rasanya Johan nak buat kenduri tu lepas Arrah lepas pantang nanti. Biarlah Arrah sihat dahulu.” Sebenarnya dia belum pun berbincang dengan Durrah tentang majlis cukur jambul dan akikah si Juddin. Bagaimana nak berbincang? Usah kata bercakap, pandang mukanya pun isterinya tak sudi. Jika diikutkan hati dan sekali fikir, memang dia berkecil hati dengan Durrah tetapi bila dua kali fikir, memang patut pun Durrah marah dan buat tak reti aje dengan dirinya.

“Kau jaga isteri dan anak kau tu baik-baik Johan. Mereka tu pembawa rezeki untuk kau. Jangan abaikan mereka. Kita selalu menyangkakan yang tiap rezeki yang kita dapat dengan melimpah ruah adalah dai hasil usaha kita tetapi kita silap ada kalanya Allah memberikan kita rezeki keranan dia kasihan dengan anak dan  isteri kita kerana mereka yang selalu sembahyang dan   berdoa kepada Allah. Kita kadang-kala dah sibuk dengan dunia, lupakan  Allah, lupa bersyukur, lupa bersedekah, lupa sembahyang……”.Johan hanya diam mendengar ceramah percuma dari ayahnya. Dalam baik sebiji peluru telah ditembak kearahnya. Dikerlingnya emaknya disebelah, cikgu Jarrah senyum simpul.

Cikgu Jarrah terbongkok-bongkok mengemop lantai.

“Mak, Johan nak balik dah”. Sapa Johan dari belakang. Setengah jam tandi cikgu Jarrah meninggalkan 2 beranak itu bercerita di anjung. Dia ke dapur memasak. Sambil memasak dia mengemas dan mengemop lantai.

“Apasal mak pandang Johan macam tu???”. Tanya Johan. Dia melihat emaknya hanya melihat dirinya sambil bercekak pinggang. Tangan kiri cikgu Jarrah memegang batang mop.

“Apa? Kau takut? Kalau nak ikutkan hati mak ni…mak nak bantai belakang kau dengan batang mop ni”. Marah cikgu Jarrah. Suaranya cuba dikawal supaya tidak didengari oleh suaminya.

“Sorylah mak…..Johan janji, Johan takkan buat Arrah macam tu lagi…”. Janji Johan. Tangannya diangkat sebelah tangan. Dia datang mendapatkan emaknya.

“Aha, orang kawin 2 ni memang pandai buat janji. Tapi semuanya janji tahi kucing. Tolonglah Johan, jangan buat perangai budak-budak. Arrah tu isteri yang cukup baik dah. Malu muka mak nit au bila kau buat hal macam ni. Malu mak pada Salmah tu…Kesian mak tengok si Arrah tu…..”. Cikgu Jarrah mula meluahkan rasa hatinya. Sedih!

“Insyaallah mak….Johan akan layan Arrah dengan baik. Mak tolonglah pujuk Arrah tu…”. Johan minta simpati dari emaknya.

“Tak kuasa aku…..pandai kaulah….sapa suruh kau kawin 2?” Cikgu Jarrah mengejek.

“Tak apalah. Kalau dua, dua merajuk, ana kawin tiga”. Johan mengusik. Dia menyanyi…

“Kalau kau nak minum air mop mak ni, kau kawin le lagi…..”. Ugut cikgu Jarrah. Johan ketawa mengekek.

“Johan, ayah dah siap dah”. Terdengar laungan cikgu Jusuh di bawah.

“Kejap”. Balas Johan dengan laungan juga.

“Johan balik dulu mak, nanti kalau balik ke sini lagi, Johan singgah”. Cikgu Jarah menyambut salam dari tangan anaknya.

“Tak singgah pun taka pa. yang penting kau selalulah jengah dan telepon bini kau tu. Dah tinggalkan duit pada dia?” Pesan cikgu Jarrah.

“Dah mak”. Jawab Johan.

“Johan, cepatlah…..”Laung cikgu Jusoh lagi.

“Eh, orang tua ni, nak kemana ajelah dia ni…..” cikgu Jarrah bersungut sendirian. Dia mengekori Johan dari belakang.

“Awak nak ke mana?”. Tanya cikgu Jarrah. Dia melihat cikgu Jusoh sudah berpakaian segak.

“Tumpang Johan ke pekan, nak ambil kereta saya kat bengkel”. Jawab cikgu Jusoh. Dia berjalan menuju ke kereta Johan.

“Em…nak ke bengkel, ingatkan nak jumpa girlfriend”. Usik cikgu Jarrah.

“Kalau boleh apasalahnya….takut awak menagis pula nanti”. Cikgu Jusoh membalas usikan isterinya itu.

“Tak kuasa saya nangis, saya jadi hulk lagi ade…..”. balas cikgu Jarrah. Johan ketawa mendengar jenaka dari 2 orang tuanya pagi-pagi begini.

“Ha, saya pergi dulu,tutup pintu tu.susah pula kalau orang culik awak nanti”. Usik cikgu Jusuh lagi. Cikgu Jarrah mencemikkan bibirnya.

“Jarrah. Pergilah salin baju. Ikut saya ke pekan, balik nanti kita singgah tengok Juddin”. Arah cikgu Jusuh. Apa lagi, melompatlah cikgu Jarrah bila diajak menjengok cucu barunya itu. Sudah beberapa hari dia tak melihat si Judin kerana dia dan cikgu Jusoh ke Seremban melihat adiknya di hospital Seremban.

 “Ei orang tua ni……lagi tadi cakapkan senang…”. Bebal cikgu Jarrah sambil tanggannya ligat menyalin pakaian.


Johan menyandarkan badannya dikepala kerusi pusingnya. Dia memusingkan kerusinya dan sekali-sekala dia tersenym sendirian. Hatinya gembira hanya Allah sahaja yang tahu. Gembira kerana dia telah menjadi seorang ayah, sama seperti lelaki lain. Dia sudah mempunyai sebuah keluarga yang lengkap. Ada isteri dan anak malah ada isteri terlebih seorang.

Lebih sepuluh tahun dia menanti untuk menjadi seorang ayah. Dahulu dia hampir putus asa. Namun Allah masih lagi menyayanginya. Dia benar-benar bersyukur pada Allah dan berterima kasih pada Durrah kerana telah melahirkan seorang anak yang sihat untuknya. Namun dihatinya ada rasa terkilan kerana tidak dapat bersama-sama menemani isterinya disaat-saat genting itu. Dia turut berdoa didalam hati semoga Allah mengurniakan anak lagi buatnya dan dia berjanji pada dirinya yang dia akan menebus segala kesilapannya dan akan sentiasa berada disisi Durrah bila isterinya itu bakal melahirkan anak lagi. Dia tersenyum . Tamaknya dia!

“Amboi! Senang hati nampak?”.Suara Zarul memecahkan kesunyian didalam bilik Johan.

‘Kacau betullah dia ni. Orang nak berangan pun tak senang’. Dalam membebel di hati dilemparkan juga senyuman untuk sahabatnya itu.

“Tahniah Johan. Akhirnya Berjaya juga usaha dan kerja keras kau”. Johan tersenyum sambil menyambut tangan Zarul. Teman sepejabat yang lain telah pun mengucapkan tahniah  sewaktu Johan tiba dipejabat tengahari tadi. Cuma Zarul yang tertinggal kerana dia berada di luar diwaktu itu.

“So…apa plan kau lepas ni?”. Zarul mengambil tempat duduk dihadapan Johan tanpa disuruh. Alah! Biasalah bilik Johan ni macam bilik dia juga.

“Lepas Arrah habis pantang aku nak tambah anak lagi sorang”. Dengan selamba Johan menjawab soalan dari Zarul itu.

“Haaaa….”. Zarul ketawa besar. Meleleh air matanya.

“Apasal? Tak boleh?”.Johan tersengeh dengan gurauannya sendiri.

“Bukannya tak boleh…..aku sentiasa sokong kau”. Masih lagi ketawa Zarul bersisa.

“Aku acah ajelah. Tapi kalau boleh pun bagus juga. Lagipun aku aje yang dah ketinggalan, kawan-kawan lain semuanya dah beranak pinak. Tinggal aku aje yang baru nak dapat anak. Walaubagaimanapun syukur, aku dapat anak juga akhirnya”. Johan meraup muka.

“Ha, macamana dengan pembantu yang aku minta itu?”. Panahan mata Johan memandang muka Zarul yang membuat memek muka. Macam ada sesuatu yang tersirat sahaja.

“Aku tengah usahakanlah ni. Banyak budak-budak yang apply. Aku nak cari yang ada pengalaman nanti senanglah kerja kau tu sikit.”

“Aku bukannya apa. Terkejar-kejar aku. Semuanya aku nak jaga. Kat sini, kat Bangi dan sekarang ni kat Seremban pula. Mana aku nak jengok Azreen, tengok Arrah dan anak aku kat kampung lagi. Masak aku. Tak larat aku nak terkejar-kejar. Jawabnya mati terkangkang aku kat tengah jalan nanti”. Zarul melepaskan keluhan bila mendengar rungutan dari Johan . Dia meraup tengkoknya yang keletihan.

“Lagi satu, kan projek kat Seremban tu kau yang kena jaga. Aku malaslah. Bukannya apa. Aku malas nak lebih-lebih dengan  Juita. Takut lain yang jadi. Kau bukannya tak tahu kisah kami”. Johan melepaskan rasa tak puas hatinya. Zarul tersengeh.

“Takut?. O.klah tu. Kalau dua-dua merajuk. Ana pasang tiga”. Johan membalingkan pennya ke kepala Zarul namun sempat ditepis oleh Zarul. Zarul mengekek ketawa melihat Johan marah dengan gurauannya.

“Dua ni pun aku dah pening kepala. Nak pasang tiga? Mampuslah aku”.Johan mengelengkan kepalanya. Dia tak sanggup. Diupah  RM100,000.00 pun dia tak mahu.

“Alah, kau ni menakutkan akulah. Aku baru nak pasang lagi satu”. Zarul bercanda. Johan memandang Zarul. Dia melihat ada satu senyuman dibalik bibir itu. Johan mengelengkan kepalanya.

“Jangan buat kerja Zarul. Orang nampak macam senang aje tapi sebenarnya susuah tau. Pening kepala dibuatnya. Aku kalau diberi pilihan, biarlah seorang sahaja. Tak terkejar-kejar. Kau apa lagi yang kurang?. Asiyah tu aku tengok cantik lagi apa?. Dia dah banyak bekorban untuk kau. Lahirkan anak-anak kau, tolong kau dalam syarikat kita. Kau kena ingat, dahulu kau ada apa?. Dengan tanah pusaka milik Asiyahlah yang kau gunakan untuk bangunkan syarikat kita ini. Jangan pula bila kau dah berjaya, kau lupakan pengorbanan dia. Sekarang ni Allah sedang uji kau. Uji kau dengan kesenangan pula. Jangan kau lupa. Aku takut  Allah tarik semula apa yang dah diberikan pada kau bila kau aniaya anak isteri kau tu..”.Panjang lebar Johan bersyarah mengalahkan ustaz pula. Dihatinya terdetik juga akan sesuatu. Almaklumlah. Bukan sehari dua dia berkawan dengan Zarul. Zarul menggaru kepalanya yang tak gatal. Bimbang kerana hasrat hatinya dapat dibaca oleh Johan.

“Aku tahu kau main wayang dibelakang Asiyah”. Johan serkap jarang.

“Jangan buat kerja gila Zarul. Kasihan Asiyah. Jangan kau tersalah ambil kaca dan kau buang permata. Lihat sekeliling kita, banyak yang terjadi apa yang dapat tak dapat menandingi apa yang hilang. Kau lihat aku ni. Nampak  macam  o.k aje. Tapi kau tak tahu, aku dah nak k.o dah ni”. Johan menceritakan perihal rumah tangganya pada Zarul. Selama ini tiada siapa pun yang tahu masalah rumahtangganya. Segalanya dipendamkan sendiri sehinggakan penyakit asmahnya semakin menjadi sejak kebelakangan ini. Hanya pada emaknya sahaja dia berbohong. Bohong sunat supaya emaknya tidak susah hati. Zarul mengeluh.

“Kau sayang dia dari kau sayang Asiyah dan anak kau serta keluarga dan apa yang ada sekarang?”. Soal Johan bertalu-talu.

“Kau sanggup kehilangan mereka?”. Adakah berbaloi apa yang kau lakukan sekarang?”. Zarul menekup mukanya.Tak tahu nak jawap apa.

“Aku rasa Asiyah tak kisahlah. Dia baik…”. Johan mengelengkan kepalanya bila mendengar jawapan dari temannya itu.

“Jadi, kau nak ambil kesempatanlah atas kebaikan dia?’.Johan mula panas hati dengan teman dia yang seorang ini.

“Sepatutnya kau bersyukur dapat isteri soleha macam Asiyah. Selain dia menutup aurat, dia sentiasa menjaga batas pergaulan dia dengan orang lelaki. Sedia berkorban harta, jiwa dan raga untuk kau. Asiyah tu selalu mengalah dengan kau bukan sebab dia setuju dengan segala pendapat dan arahan kau tapi dia selalu mengalah sebab dia hormat kat kau sebab kau suami dia dan dia tak mahu berbalah dan bergaduh dengan kau. Bukan aku saja buat cerita tapi itu yang dia pernah katakana pada aku. Kau tu kalau ada masalah kerja dengan dia kau akan bawa sampai ke tempat tidur.

Asiyah tu bukan budak kampung yang tak ada kelulusan. Dia berkelulusan luar negara sama macam kita. Dengan kelulusan dan pengalaman yang dia ada kau ingat dia takut hidup tanpa kau? Potong jarilah aku berani kata dia akan tinggalkan kau kalau kau ada perempuan lain. Ialah, kalau aku jadi dia pun aku akan buat begitu. Nak buat apa tunggu lagi pada lelaki yang tak tahu dek untung, dahlah segalanya dikorbankan pun masih tak cukup lagi.

Dia tu masih  cantik  lagi tau. Jangan terperanjat bila aku katakana ada klient kita yang syok  kat dia tapi Asiyah tak layan. Kau ingat dia tak laku lagi ek? Aku takut kau yang gila talak  bila kau buang dia. Ialah, perempuan macam dia sekarang ni susah nak cari. Banyak yang plastic, cantik kat luar tapi berkarat kat dalam”. Saja Johan memprovok. Zarul memandang Johan dengan renungan yang tajam.

“Kau macam ada hati dengan isteri aku aje?”. Soal Zarul kasar.

“Siapa yang syok kat dia? Kau?”. Semakin tinggi suara Zarul. Johan ketawa.

“Aku hormat dia kerana dia isteri kau. Kau kawan aku dan Asiyah tak pernah memburukkan suaminya pada aku atau orang lain dibelakang kau. Itu yang lebih membuatkan aku lebih hormat pada dia. Di luar sana ramai isteri yang hanya baik dihadapan suami. Lembut gigi dari lidah tetapi bila dibelakang suami, macam-macam perkara buruk suami yang dijaja keluar. Ada kalanya kisah dalam kelambu pun diceritakan kat orang. Sedangkan mereka tak sedar setiap suami itu adalah pakaian untuk isteri, jika buruk suami itu, buruklah isteri juga.

Tapi Asiyah tak macam tu. Dia hanya mengeluh dan melayan sifat ditaktor kau tu. Kalau isteri lain tentu dah berperang. Ialah, syarikat ini hasil sumbangan dia juga. Kau tu dah ada tanda-tanda sakit jantung. Jangan pula kau tiba-tiba k.o kat site bila diamuk dua orang perempuan dalam hidup kau tu. Tak ada beban, jangan batu nak digalas.

Kau jangan jadi macam aku. Sekarang ni semput aku makin menjadi. Masalah dengan Azreen lagi aku tak terlayan. Azreen sekarang ni semakin melampau. Agaknya dia cemburu dan sakit hati sebab aku dah ada anak dengan Arrah. Yang Arrah pula buat perangai diam seribu bahasa dengan aku. Aku lemas bila dibebelkan Azreen rupanya aku lebih lemas bila Arrah diam macam patung yang bernyawa. Serbasalah aku. Itu belum lagi sibuk dengan hal kerja. Aku takut aku yang mati semput kat site”. Johan pula berjenaka. Dalam baik dia mengenakan kawannya dan memberi sedikit info. Bukan mudah beristeri dua.

“Allah sedang beri ujian dengan kau sekarang ni. Ujian kesusahan dan kesakitan mudah untuk kita harungi tetapi ujian kesenangan selalunya yang membawa kehancuran kita. Sebenarnya Allah melimpahkan rezeki yang banyak pada kita bukan hanya kerana kerja keras kita sahaja tetapi hasil dari doa anak dan isteri kita. Allah kasihan pada mereka. Nak harap kita sendiri berdoa. Emmm….kau dan aku pun sama, banyak tak sembahyang dari sembahyang, macamana nak berdoa? Aku rasa Allah pun tak pandang doa kita…”. Johan ketawa kecil dengan sarahan dia sendiri.

“Kau ni belum seminggu jadi ayah, dah pandai beri ceramah kat aku…”. Zarul tak puas hati.

“Aku bukan beri ceramah tapi menyampaikan apa yang aku tahu. Aku pun kena ceramah dengan cikgu Jusoh pagi tadi…..”. Zarul tersengeh dan membayangkan wajah pakcik Jusoh dan Makcik Jarrah. Ibu dan bapa Johan.

“Hai…entahlah, nak ditelam pahit, nak dibuang pula sayang….”. Zarul mengeluh. Dia mengeliatkan badannya diatas kerusi. Johan tersengeh mendengar sahabatnya itu mengeluh.

“Aku bukannya jelous kau ada girlfriend tapi aku bimbang  kau mengalami nasib yang serupa dengan kawan kita si Fendi tu…., sebenarnya kita tak akan bahagia bila kita mengecewakan orang lain, apatahlagi mengecewakan anak dan isteri kita, kita perlukan mereka bila kita susah, tapi bila kita senang, kita buang mereka. Kita kena ingat, doa orang yang teraniaya akan Allah kabulkan. Aku sekarang ni pun bimbang. Aku dah menganiaya isteri dan anak aku. Aku dah melukai hati Arrah. Aku banyak buat dia menangis walaupun dia tak menangis dihadapan aku tapi aku tahu dia kecewa dengan aku. Aku tak adil dan tak menepati janji aku padanya untuk membahagiakan dia.

Aku bimbang jika dia mengambil keputusan yang tak terjangkakan oleh aku. Walaupun dia ada dihadapan aku tapi aku dapat rasakan yang aku sudah semakin jauh dari hatinya. Kadang-kala perempuan yang baik dan lemah macam Arrah dan Asiyah ni, kita tak dapat nak jangkakan tindakan mereka. Perempuan Rul, mereka lebih kuat semangat sebenarnya dari kita. Mereka perlukan lelaki untuk menyempurnakan hidup mereka, mereka boleh hidup tanpa lelaki. Kita tengok di luar sana berapa ramai ibu tunggal telah berjaya dalam kerjaya,dalam perniagaan dan mendidik anak-anak tanpa bantuan dari lelaki. Kita orang lelaki ni yang tak boleh hidup tanpa orang perempuan. Walaupun kita boleh mendabik dada kita boleh hidup dengan tak berkahwin tetapi dalam diam kita pergi juga cari GRO, angkut juga mereka sampai ke bilik tidur.”.Zarul menghela nafas, ada benarnya kata-kata dari Johan itu.

“Aku dah lama tak jumpa Fendi, Fazura pun sama…”.Wajah Fendi dan Fazura terlayar di mindanya.

“Aku ada jumpa Fazura tahun lepas, dia jadi pensyarah kat IPT tapi aku lupa pula kat mana. Dia dah berkahwin lagi dan ada anak baru. Aku tengok dia gembira dan bahagia. Ialah, tak selamanya dia hidup  derita. Fendi pula aku dah lama tak jumpa, mengikut berita yang aku dengar, dia sambung belajar semula di U.S, balik nanti dia jadi pakar bedah kanak-kanak.”

“Dia dah ada anak dah?”. Johan mengelengkan kepalanya.

“Allah dah beri dia tiga orang anak tapi dia yang buang mereka, buat apa Allah nak beri dia anak lagi?”. Dalam baik Zarul terkena. Kisah Fazura dan Fendi muncul semula dalam memori silamnya.
Fazura dan Fendi adalah rakan seuniversiti mereka. Fazura dalam jurusan yang sama dengan mereka iaitu dalam jurusan kejuruteraan cuma Fendi dalam jurusan perubatan. Fazura dan Fendi adalah salah satu cinta ‘kampus’ yang suci dan dimeterai dengan ikatan pernikahan. Tanpa keluarga dan saudara mara mereka harungi hidup bersama dalam serba kekurangan. Hanya cinta menjadi pegangan mereka diwaktu itu.

Menjadi isteri dalam waktu yang sama masih lagi memegang status pelajar, bukanlah sesuatu yang mudah apatahlagi Fazura mengandung anak pertama mereka. Fazura mengalami alahan yang teruk sehinggakan pelajarannya terganggu dan gagal didalam pelajaran. Fazura melahirkan anak dan berpantang dalam serba kekurangan tiada jagaan dan tunjuk ajar dari orang tua. Pandai-pandai sendirilah. Setelah bukan lagi bergelar pelajar, Fazura terpaksa balik ke Malaysia. Dia pulang bukannya membawa segulung ijazah sepertimana yang diharapkan oleh kedua orang tuanya tetapi dia pulang membawa seorang bayi lelaki yang comel. Dalam hampa dan airmata, keluarga tetap menerima kepungan Fazura kerana itu anak dan cucunya.

Fendi tidak betah tinggal sendirian tanpa seorang isteri disisinya. Dengan meminjam wang saudara mara, Fazura berangkat semula menemani suami yang tercinta, meninggalkan anak yang masih kecil pada ibunya dikampung. Di waktu suami dan para pelajar lain ke kuliah, Fazura mengayuh basikal ke sebuah restoren ditengah bandar untuk mencuci pinggan. Wang yang dia dapat, sebahagiannya digunakan untuk kegunaan mereka berdua dan sebahagiannya dikirimkan ke kampung untuk perbelanjaan bayi mereka kerana ibubapa Fazura bukanlah orang kaya, mereka hanyalah orang kampung yang hidup sederhana hasil dari kebun  getah.

Setelah Fendi tamat belajar dan pulang ke Malaysia, dia menjadi ‘’houseman’ manakala Fazura tinggal dikampung kerana suaminya belum mampu untuk menyara hidup mereka. Berpegang pada pepatah, orang tua lebih banyak makan garam dan lebih tahu tentang hidup berumah tangga, maka Ibu Fazura memujuknya menyambung pelajaran di ITM. Hidup mereka terpisah, Fazura diasrama manakala suaminya tinggal menyewa bersama dengan teman-teman. Fazura pernah menyuarakan pada suaminya untuk tinggal bersama. Dirumah setinggan pun tidak mengapa tetapi suaminya tidak bersetuju kerana status yang dipegangnya, mana mungkin seorang doktor tinggal dirumah setinggan?. Untuk menyewa dirumah yang lebih selesa, dia belum berkemampuan.

Hidup berasingan banyak godaan dan buruknya. Siapa sangka Fendi jatuh cinta dengan jururawat yang bertugas dengannya. Dan berita yang sampai ke telinga Fazura adalah sesuatu yang ditidak dijangkakan olehnya. Fendi menceraikannya hanya melalui seorang kawan dengan alasan, hidupnya susah  bersama dengan Fazura.

Tidak dinafikan, hidup seorang pelajar hanya berbekalkan duit biasiswa untuk menyara diri sendiri  dirantau orang yang jauh dari keluarga sememangnya amat perit, inikan pula terpaksa menanpung hidup isteri dan anak. Nama pun belajar!

Sebagai ‘house man’. Banyak manalah elaunnya lebih-lebih lagi Fazura pula belajar dan mereka hidup terpisah, Fendi dirumah sewa bersama dengan rakannya, Fazura di asrama manakala anak-anak mereka di kampung. Mungkin juga Fendi kena ‘kejutan budaya’. Ialah, dahulu dia pelajar, kewangan terhad dan ditemani isteri, segala pergerakan dan pandangan terbatas. Tetapi kini dia sudah mula mempunyai wang dan pandangan mata telah terbentang luas lebih-lebih lagi dengan ketiadaan isteri disisi.

Tidak salah kata pepatah ‘pantai lagikan berubah, inikan pula hati manusia’. Kesusahan mendekatkan mereka, pabila kesenangan mula menyapa kehidupan Fendi, dia mula lupa pada isteri dan anak-anak apatahlagi saban hari ditemani jururawat yang cantik jelita disisi pengganti isteri, dia lupa akan tanggungjawabnya.

Berita perceraian sampai juga ditelinga Fazura. Dengan linangan airmata menzahirkan hatinya yang terluka, dia menerima berita itu dengan penuh penuh luka. Sekian lama bersama mengharungi segala susah payah dan mengorbankan segala cita-cita dan mengecewakan hati kedua ibubapa setelah gagal membawa pulang segenggam ijazah, gelaran janda muda yang dia perolehi dari insan yang dikasihi, insan yang diharapkan apatahlagi diwaktu itu Fazura sedang mengandungkan anak mereka yang ketiga.
Kejamnya hati lelaki. Dia tidak menyangkakan begitu kejam sekali hati Fendi. Yang paling marah adalah Johan kerana sewaktu Fendi dan Fazura hendak berkahwin, Johanlah yang banyak membantu walaupun hidup Johan diwaktu itu bukanlah baik sangat. Menurut Johan, ‘orang nak buat baik, kalau kita tolong, kita pun dapat pahala, macam mendirikan masjid tau!’

Talak tetap ‘jatuh’ walaupun dilafazkan dengan sengaja atau pun tidak. Disebabkan diwaktu itu Fazura sedang mengandung, maka tempoh edahnya adalah selepas Fazura melahirkan anaknya. Menurut Fazura, ‘orang dah tak sayangkan kita lagi, buat apa kita tunggu’. Amat menyedihkan bila ayat itu keluar dari bibir Fazura tetapi itulah kenyataannya. Cuma Fazura meminta Fendi yang akan  menyambut kelahiran anak mereka nanti kerana kedua-dua anak mereka yang terdahulu Fendi tidak berpeluang menyambutnya kerana Fendi belum disahkan menjadi seorang doktor.

Tak dapat nak digambarkan bagaimanakah perasaan Fazura diwaktu itu, sedang sarat mengandung, dengan bebanan sebagai seorang pelajar dan terpaksa selalu balik ke kampung melihat dua anak mereka. Katanya, ‘aku tak berdaya, bagaimana nak belajar jika fikiran aku berserabut, nak bawa diri pun tak larat. Aku lulus periksa ni pun mungkin Allah kasihan melihat aku dan anak-anak.’

Seperti yang dijanjikan, Fendi yang menyambut kelahiran anak mereka dirumah keluarga Fazura. Menurut khabarnya, Fendi trauma setelah melihat kesusahan dan kepayahan Fazura sewaktu melahirkan anak mereka sehingga menyebabkan Fendi tidak dapat menyambut kelahiran mana-mana bayi pun sehingga sekarang. Selepas kejadian itu, Fendi minta ditukarkan ke wad kana-kanak, dia tidak lagi bertugas di kamar bersalin. Menurut Johan sekarang ini Fendi sedang melanjutkan pelajaran di U.S bersama isteri barunya, jururawat tersebut.  Pulangnya nanti dia akan bergelar ‘Doktor pakar kanak-kanak’.

 Mungkin itu pilihannya. Hidup bersama cinta baru. Tetapi adakah dia bahagia dengan cinta barunya? Walaupun sehingga kini mereka belum lagi dikurniakan cahaya mata walaupun  hampir sepuluh tahun mendirikan rumahtangga.

Kata Johan ‘Mana  kita nak bahagia jika kita melukakan hati orang lain, apatah lagi hati isteri dan anak-anak yang selam ini bersusah payah dengan kita. Aku bukan marah dia nak kahwin lain, itu jodoh dia, tapi aku marah dia ceraikan Fazura apatahlagi dengan cara yang tak beradap. Dahulu masa dia susah, masa dia nak menghadapi peperiksaan akhir, bersungguh-sungguh dia minta Fazura dan mertuanya mendoakan dia. 

Mertuanya dikampung tu bangun tengah malam dan sembahyang hajat turut sama mohan pada Allah supaya menantunya lulus dalam peperiksaan. Kau ingat senang ke belajar dalam bidang perubatan?. Tapi bila dah jadi doktor, lupa diri pula. Aku kalau jadi ayah Fazura pun aku marah. Entah-entah dia dah aku kerat 14. Aku tak pelik bila Allah tak mengurniakan dia anak sebab anak yang dia ada pun di tak terjaga. Menjadi seorang ayah bukan hanya memberikan duit setiap bulan untuk anak makan dan pakain tetapi tanggungjawab seorang ayah lebih dari itu. Fazura dan orang tuanya yang menjaga dan mendidik anak dia. Sepatutnya bila kita ada anak, kita yang kena bertanggungjawab, bukannya kita bebankan orang tua. Orang tua kita, biarlah dia tumpukan pada amal ibadat mereka.’
Menurut Johan, Fazura sekarang ini sudah pun menjadi seorang pensyarah di IPTS. Dahulu dia bekerja sambil belajar. Tentunya dia bekerja keras untuk memajukan hidupnya apatahlagi dia mendapat sokongan kuat dari keluarganya. Gagal sekali, tidak bermakna gagal selamanya. Sekarang ini Fazura sudah menemui jodoh baru dan bahagia dengan suami dan anak barunya. Allah itu maha adil.   

Zarul menyandarkan kepalanya dikerusi. Dia melepaskan keluhan. Dia sayangkan isteri dan anak-anaknya, dalam masa yang sama dia juga sayangkan seseorang yang mula menapak dihatinya. Bukannya di tidak sayangkan isterinya lagi. Tetapi mahukah Asiyah berkongsi kasih dengan orang lain setelah dia bersusah payah selama ini membina rumahtangga dan membina perniagaan mereka. Zarul buntu.

“Kau nak ke mana?”. Zarul bertanya Johan bila melihat Johan kelam kabut mengemaskan mejanya gayanya dia ingin pulang segera.

“Alah, kau nak balik cepat pun bukannya bini kau ada….eh! sory, lupalah pula aku, kau ada dua, satu off, yang satu lagi boleh on kan? Ni yang aku jelous ni…”. Johan tergelak dengan gurauan dari Zarul itu..

“Banyaklah kau punya jelous, kalau kau dapat macam Azreen tu, aku rasa tak sampai setahun gerenti jantung kau tu berhenti, tak pun dua-dua masuk hospital sebab pecah kepala.”. Zarul mencemikkan bibir. Johan sedia mengerti sahabatnya itu panas baran, kalau dia berjumpa dengan jodoh baru, seorang yang barannya sama dengannya, mau lingkup rumahtangga.

“Bersyukurlah apa yang ada…..”. Johan mencapai begnya.

“Aku boringlah tinggal sorang-sorang….”. Zarul merayu.

“Aku nak keluar beli hadiah untuk bini aku. Aku tak macam kau, nak beli hadiah untuk bibi pun payah, kalau pasal girlfriend, bukan saja hadiah, bunga selori pun kau sanggup belikan”. Zarul tersengeh dengan sindiri temannya.

‘Em…betullah tu…’. Tekaan Johan tepat sekali.

“Aku rasa lebih baik kau balik rumah, tolong Asiyah layan anak-anak kau. Kasihan dia, dahlah dipejabat dia banyak tolong kau, apa salahnya kerja dirumah kau pula tolong dia, adil kan? Sayang dan hargailah mereka sementara mereka masih lagi milik kau Rul….jangan pula suatu hari nanti setelah mereka tak ada lagi dihadapan mata kau dan mereka bukan lagi milik kau, baru kau nak menangis…..aku pergi dahulu…”. Belum sempat Zarul bertanya apa yang dimaksudkan oleh Johan itu, pintu bilik sudahpun ditutup oleh Johan. 

Zarul melepaskan keluhan. Dia meraup wajahnya. Handphonenya berbunyi, dia menjawap panggilan lalu bangun dan kelua dari bilik Johan.

“Eh!, Saya ingatkan Johan rupanya abang. Malam ni boleh abang balik awal dan kita makan kat luar  bersama sekeluarga sebab tadi angah telephone dia dapat nombor  sembilan dalam peperiksaan dia.” Zarul tersengeh. Nombor sembilan pun isterinya itu nak meraikan kejayaan anaknya bukannya nombor satu.

“Bolehlah bang, nombor sembilan pun dah kira bagus tu, selalunya dia dapat nombor  20 keatas, sebakul nombornya.” Zarul akui anaknya yang kedua itu agak kurang memberangsangkan dalam bidang pelajaran. Bila disuruh membaca ataupun belajar amat payah sekali. Yang di gemari olehnya adalah melukis. Tak cukup kertas, dinding pun  habis di lukisnya. Dirumah baru mereka kini, setiap anaknya diberi seorang sebuah bilik. Didinding bilik anak keduanya penuh dengan lukisan. Macam-macam tema ada. Kadang-kala nak marah pun  ada. Apa tidaknya, rumah belum pun setahun diduduki tetapi macam telah sepuluh tahun setelah di ‘modify’ oleh anak keduanya.

Anak keduanya itu agak degil dan kasar orangnya tetapi agak pendiam. Selalu juga dia mengeluh dengan Johan. Johan pula ketawa bila mendengar kerenah anak-anaknya yang tiga orang itu. Pernah Johan memberitahu bahawa dia beruntung mendapat anak yang sebegitu kerana anak keduanya itu mempunyai kelebihan yang jarang orang lain miliki. Jika diberi perhatian dan dorongan, tidak mustahil anaknya akan menjadi pelukis yang terkenal. Mungkin juga dia akan menjadi seorang kartunis. Sekarang ini, kartunis pun boleh menjadi seorang jutawan jika kena dengan caranya.

“Bolehlah bang….”. Suara isterinya memujuk bila sedari tadi dia hanya mendiamkan diri. Zarul memaut pinggang isterinya lalu menganggukkan kepala. Dia memandang wajah isterinya. Seperti kata Johan, dia beruntung mendapat isteri soleha seperti Asiyah, seorang isteri yang rela berkorban jiwa dan raga serta harta benda untuknya. Namun hadirnya cinta yang baru, begitu kuat tarikannya dan dia tidak mampu untuk menolaknya. Jika dipaksa membuat  pilihan, mampukah dia melepaskan isterinya ataupun melupakan cinta baharunya?

“Bang…..orang bercakap dengan dia, dia pula boleh berhayal….”.Rajuk Asiyah.

“O.klah, Sayang pilih mana tempatnya. Dah jom kita balik sekarang. Tak nak beli hadiah ke?”. Asiyah katawa senang apatah lagi dia mendengar suaminya itu memanggilnya sayang. Sudah lama dia tidak mendengar panggilan manja itu.

“Sindir nampak? Tak payahlah beri hadiah, hadiah makan pun dah cukup”.Zarul tersengeh menyembunyikan rasa bersalah dihati kerana sejak kebelakangan ini dia sering balik lewat dan mengabaikan keluarganya bukan atas alasan kerja tetapi kerana sibuk melayan kerenah buah hati yang tercinta.

“Tengok tu, boleh senyum lagi…angaulah abang ni sejak dua menjak ni…macam orang bercinta aje…”. Tangan Asiyah sibuk mengemas mejanya sambil mengutuk suaminya. Zarul terkasima mendengar omelan isterinya. Berubah airmukanya.


“Dah, cepat balik jangan nak mengarut pula”. Keras suaranya. Sebenarnya ia hanya ingin menutup debaran didada. Tak dapat dinafikan, mungkin naluri hati seorang isteri dapat merasakan perubahannya sekarang. 

4 comments: