wallpaper

20140804

e-novel- KU PENDAM SEBUAH DUKA - Bab 41


Bab  41

Kandungan Durrah masuk bulan ke 6. Seronok juga bila mengandung ni. Bukan sahaja suami malahan teman sekerja dan orang-orang disekeliling turut menyayangi. Jehan tidak marah-marah lagi malahan anginnya pun kurang. Dia lebih bertanggungjawab dan saling membantu dalam kerja-kerja dipejabat.


Jika ada makanan yang pelik-pelik, Durralah yang dapat merasanya  dahulu. Mengidam? Emm..tak larat nak cerita. Johanlah yang terpaksa kesana dan kemari mencari segala macam benda yang diidamkan oleh isterinya. Apakan daya, terpaksalah dia mencarinya jika tidak, bimbang diketahui olek emaknya, panas telinganya nanti.

Soal makan?. Selera Durrah menjadi berlipat kali ganda, sentiasa ada bak kata orang tua, membujur lalu melintag pun lalu….Badannya

bagaikan dipam dengan pam kat stesen minyak bukannya pam basikal.

Apa lagi bila dia dimanjakan oleh Johan. Segala pakaian mereka dihantar ke kedai dobi. Pada mulanya malu juga, seumur hidupnya dia tidak pernah menghantar pakaiannya ke sana. Tapi bila dia mengelak, Johan pula yang memungut pakaian mereka, habis pakaian yang kecil-kecil sekali dipungutnya dan dihantar ke kedai dobi. 

Bagi Durrah bukannya  susah mana pun untuk membasuh pakaian, Cuma masukkan sahaja pakaian kedalam mesin basuh dan dibubuh sabun apatahlagi mesin basuh yang automatic, cuma perlu sidai sahaja. Tapi kata Johan bila hantar kedai dobi, pakaian mereka akan di gosok sekali. Ialah Durrah ikutkan sahaja perintah suaminya. Apatahlagi sekarang ini dia cepat berasa penat bila bergerak terlalu aktif. 

Ada kalanya Johan turut sama membantu mengemas rumah. Hanya mereka berdua sahaja, tak bersepah mana pun rumah mereka. Durrah banyak berehat apatahlagi sejak kebelakangan ini dia jarang memasak. Johan melarang Durrah memasak terutama bila Durrah penat. Beli sahaja lauk di kedai tetapi makan mestinya dirumah keranan lepas makan Durrah lebih selesa berehat dirumah. Perutnya yang semakin memboyot meyebabkan dia malas untuk keluar apatahlagi selepas seharian diluar kerana bekerja. Bila Johan balik lewat malam, ada sahaja makanan yang dia bawa. Dia juga sudah terikut-ikut dengan selera Durrah yang semakin bertambah.

Bila segala kerja sudah mempunyai penolong, maka banyaklah masa Durrah berehat dan memerhatikan keadaan sekeliling. Suatu hari dia melihat Johan termenung di koridor. Hari kedua, ketiga dan hari-hari berikutnya pun begitu…. 
                                             
                                                                  
Durrah keluar dari bilik air. Johan tidak kelihatan dibilik tidur. Durah ke ruang tamu, bilik study pun dia tidak ada. Durrah ke koridor.

“Dekat sini rupanya abang, puas Arrah cari”. Omel isterinya. Johan masih lagi termenung memandang bulan yang mengambang penuh.

“Arrah tengok sejak akhir-akhir ni abang termenung aje, ada masalah ke?”. Durrah bertanya pada suaminya manalah tahu jika dia mampu menolong jika Johan ada masalah.

“Tak ada apa-apalah Arrah, masalah biasa aje hal pejabat”. Tapi Durrah rasa tak puas hati.

 “Lain macam aje tengok bulan. Orang kalau putus cinta aje yang suka tengok bulan”.Johan ketawa bila mendengar gurauan dari isterinya. Hambar sahaja bunyinya.

“Arrah, kalau ditakdirkan  suatu hari nanti abang jadi orang miskin dan tiada wang dan harta, Arrah masih lagi nak kat abang tak?”. Pelik sungguh soalan dari suaminya itu.

“Abang, Arrah sayang dan cintakan abang bukan kerana wang dan harta tapi kerana abang suami Arrah dan selama ini abang layan Arrah dengan baik. Arrah akan sentiasa bersama dengan abang dalam susah mahupun senang. Kalau abang tak dapat mencari rezeki disini, kita balik kampung. Kan rezeki Allah tu ada dimana-mana bang asalkan kita berusaha.

Arrah nak hidup dengan abang sampai akhir hayat Arrah. Arrah nak jaga abang sampai abang tua, jika ditakdirkan mati, Arrah nak mati dahulu sebelum abang sebab  rasanya kami tak mampu nak hidup tanpa abang itupun kalau abang tak ada perempuan lain. Kalau abang ada perempuan lain, kirim salamlah, good bye! Walaubagaimana susah sekali pun terpaksalah Arrah teruskan hidup dengan anak-anak, ialah orang dah tak sayang kat kita, nak buat apa lagi kita tunggu….’. Johan melepaskan keluhan, dia mencium ubun-ubun isterinya. Perangainya sejak kebelakangan ini  mengelirukan isterinya.

“Abang ni ingat girlfriend ek?”. Soal Durrah sangsi denngan perangai suaminya. Kalaulah betul, haru-birulah hidup  dia.

“Abang mana ada girlfriend lain. Arrah aje girlfriend abang”.kata-katanya membuai perasaan Durrah. Durrah menatap mata suaminya tetapi Durrah tahu ada sesuatu di sebalik mata itu.

“Jomlah abang kita tidur, Arrah mengantuklah, esok kita nak kerja”.Durrah menutup mulutnya. Dia menguap. Mengantuk!

“Arrah pergilah tidur dahulu, abang belum mengantuk lagi”.Jawab Johan. dia masih lagi mahu mengambil angin di luar ini. Matanya masih lagi belum mengantuk, malangnya malam yang tenang ini tidak mampu membuang serabut dikepalanya.

“Alah, marilah tidur, nanti Arrah bagi ubat ubat tidur”. Durrah menarik tangan suaminya supaya mengikutnya bangun.

“Abang tak ada moodlah sayang…”. dalihnya lagi.

“Nanti Arrah bagi ubat mood, ubat mood Arrah lagi bagus dari Viagra”. Johan ketawa besar dengan gurauan Durrah. Dia bangun lalu memeluk isterinya sambil berjalan menuju ke bilik.

“Pandai Arrah pujuk abang ye, o.klah, abang tunggu ubat mood dari Arrah…”. Johan tersenyum meleret, Durrah pula mencemikkan bibirnya.


Kewangan syarikat semakin meruncing. Syarikat Azlie Bhd telah memberhentikan suntikan modalnya untuk projek mereka . Ah! Pening kepala Johan memikirkan bagaimana untuk mencari modal tambahan 50 juta dalam masa terdekat. Untuk membuat pinjaman bank dengan jumlah yang besar, bukannya mudah malahan memakan masa yang panjang.

Jika lewat, mereka akan menghadapi masalah kerana setiap projek mestilah disiapkan mengikut jadual. Mereka tidak mahu didenda atau silap haribulan, syarikat mereka akan disenarai hitamkan ataupun mereka akan terus kantoi. Lebih parah, syarikat mereka usahakan selama ini akan gulung tikar.
Pening kepala bila memikirkan. Zarul menggaru kepalanya yang tak gatal. Tak tahu dimana harus dia meminta tolong.

“Macamana ni Johan? kewangan kita dah nazak ni. Payahlah macam ni”. Ada nada gusar pada suara itu.

“Itulah kau, dari dahulu lagi aku dah kata jangan libatkan ayarikat Azlie Bhd. tapi kau degil. Konon mereka itu propesionallah. Ha, sekarang apa dah jadi? Yang jadi mangsanya aku, bukannya kau orang semua”. Johan membebel. Dia melepaskan rasa tidak puas hatinya terhadap Zarul.

“Manalah aku tahu boleh jadi macam ni. Azreen ni pun satulah buat ‘spoil’ pula. Punyalah bersepah lelaki kat KL ni, buat  apalah dia gila kat kau balik?. Agaknya dia gila talak tak? Kan senang kalau dia gila kat aku ke? His, tak faham sungguhlah aku perempuan macam ni. Senang-senang kau rujuk semula dengan dia Johan. Senang masalah kita”. Amboi senangnya cakap! Johan membeliakkan matanya.

“Habis tu si Arrah aku nak letak kat mana? Senang aje kau cakap, kalau dia lari lagi, parah aku dibuatnya. Aku sanggup kehilangan harta benda aku dan segala-galanya kecuali dia”. Jelas Johan. dia tidak mahu kehilangan anak dan isterinya. Mereka lebih bernilai dari segala-galanya.

Johan teringat akan kata-kata dari Azreen. Dia benar-benar buat kerja gila sepertimana kata bekas ayah mertua Johan. Azreen memang suka menyusahkan orang lain.

“I nak rujuk semula dengan you”. Bagai halilintar membelah bumi. Terkejut Johan dengan permintaan dari Azreen itu. Dah sah, Azreen buat kerja gila.

“Gila ke you Reen? I dah ada isteri dan tak lama lagi I nak ada anak”. Bentak Johan, dia tidak bersetuju dengan permintaan Azreen supaya mereka rujuk semula.

“I tak peduli, I nak rujuk semula dengan you. I tak kira apa nak jadi, jadilah”. Keras nada suara Azreen menakutkan Johan. Bukannya Johan tidak kenal akan Azreen. Dia sanggup buat apa sahaja asalkan hasratnya tercapai tanpa mengira perasaan dan hati orang lain.

“Please Reen, mana perginya teman-teman lelaki yang you bangga-banggakan dahulu? Kenapa pula kita harus rujuk semula?”. Johan tidak faham. Dahulu Azreen yang beriya-iya meminta cerai darinya. Sekarang nak rujuk semula. Dia ingat kahwin ini perkara main-main ke?

“Ah! Mereka semua itu tak guna”. Bentak Azreen. Johan mengelengkan kepalanya. Tahupun kau?!

Kan dahulu mereka lebih hebat dari I sampaikan you curang dibelakang I?”. Azreen menangis dengan kata-kata Johan itu.

“Maafkan I Jo, I menyesal. I janji tak akan buat lagi.”.Azreen menyesal kerana lelaki yang dikenalinya hanya ingin mengambil kesempatan keatas kedudukannya bukannya menyintainya dengan setulus hati.

“Azreen, tak semudah itu, walaupun I dapat memaafkan you, tak mungkin I akan menerima you sebagai isteri I semula. I dah ada isteri dan I sangat cintakan dia walaupun dia tidak secantik you tapi peribadi dia lebih baik dari you”. Johan berterusterang .Bagi Johan, tak mungkin Azreen kembali kepadanya kerana cinta. Apa yang Johan dapat tafsirkan, mungkin Azreen berasa cemburu bila melihat Johan bahagia dan tidak lama lagi akan memperolehi cahaya mata, sedangkan Azreen masih lagi tercari-cari jalan bahagia. Jalan yang dipilih hanya memberikan derita buatnya. Azreen sendiri selalu menceritakan keluh-kesahnya pada Johan.
Memang Azreen buat kerja gila! Bergoncang lagi keluarga yang ternama itu sehinggakan Datuk Azlie terpaksa campur tangan.   


“Papa tak tahu nak buat macamana. Kalau Johan tak mahu rujuk semula dengan Azreen, papa terpaksa hentikan suntikan modal dalam projek kita, kalau tidak, dia akan kembali ke U.S semula. Papa tak mahu dia kesana semula sebab mamanya mengidap kanser rahim peringkat keempat. Harapan mama untuk sembuh amat tipis Johan. 

Papa tak mahu dia tinggalkan mamanya dalam saat-saat begini. Mamanya perlukan dia. Kamu pun tahukan macamana perangai Azreen? Susah papa nak pujuk dia. Tolonglah papa Johan”. Datuk Azlie serba salah, dia tidak mahu meruntuhkan rumahtangga Johan hanya semata-mata melayan perangai gila anaknya apatahlagi bila dia mengetahui yang isteri Johan sedang sarat mengandung. Dia melepaskan keluhan. Kesal kerana anak perempuan seorang pun dia tidak mampu mendidik.

‘Ya Allah! Tolonglah aku, bantulah aku. Aku buntu. Apa harus aku buat? Bagaimana aku nak terangkan pada Arrah?’. Johan  tidak dapat jalan yang terbaik buat mereka. Fikirannya benar-benar buntu dan kusut.


No comments:

Post a Comment