wallpaper

20140811

e-Novel- KU PENDAM SEBUAH DUKA - Bab 42

KU PENDAM SEBUAH DUKA

Bab  42
              
Durrah menyorong troli dengan perlahan sambil matanya melilar mencari barang keperluan dapur. Tiba-tiba trolinya terlanggar seseorang.

“Hei, banyaknya dia beli barang sampaikan tak nampak orang”. Terdengar suara menyapanya. Durrah tersenyum mesra.

“La, kak Asiyah, Arrah ingatkan siapalah tadi. Nak kata orang beli banyak barang, tengok tu, barang dia lagi banyak”. Asiyah ketawa. Memang pun barangnya lebih banyak, penuh satu troli.

“Sorang aje?
budak-budak mana?”

“Dia orang ikut papanya, leceh kalau dia orang ikut. Nanti nak beli lain, lain pula yang kena beli”. Bebel Asiyah. Durrah hanya ketawa. Dia tidak ada lagi pengalaman melayan 3 orang anak, mungkin betul juga kata Asiyah itu.

“Arrah sorang aje? Mana Johan?”. mata Asiyah melilar memandang sekeliling mencari Johan.

“Abang Johan tak ada, dia ada hal sikit, lepas Arrah beli barang nanti dia datang ambil Arrah. Bagaimana kerja sekarang ni, o.k?” Sengaja Durrah hendak mengorek rahsia dari Asiyah apakah di pejabat ada masalah sepertimana yang Johan kata ataupun itu hanyalah satu alasan dari suaminya sahaja.

“Payah nak cakap Arrah”. Durrah melihat air muka Asiyah berubah dan melepaskan keluhan. Berat nampaknnya masalah Asiyah itu.

“Jom kita pergi minum sambil berbual. Letihlah nak berbual sambil berdiri aje”. Asiyah mengajak Durrah minum walaupun sebenarnya masih banyak lagi barang yang perlu dia dibeli tetapi apa yang bakal dia perkatakan pada Durrah adalah lebih penting. Penting demi masa depan mereka dan juga demi masa depan syarikat mereka.


Durrah termenung mendengar cerita dari Asiyah. Patut pun Johan sejak kebelakangan ini macam cacing kepanasan. Rupa-rupanya ada masalah besar yang melanda mereka. Durrah melepaskan keluhan. Airmatanya berlenangan.

“Arrah, maafkan akak sebab cakap benda ni. Akak harap, Arrah jangan cakap dengan Johan akak yang beritahu cerita ni, mati akak kalau dia mengamuk”. Asiyah memegang tangan Durrah. Dia serbasalah bila melihat Durrah menangis. Jika dia berada di tempat Durrah disaat ini, dia pun akan berperasaan begitu. Dan yang pasti, dia tidak mahu berkongsi orang yang dia sayang dengan orang lain walau apa pun alasannya. 

“Insyaallah, akak janganlah risau”. Gila juga si Azreen ni! Punyalah ramai lelaki yang hebat-hebat kat KL ni, Johan juga yang dia gilakan. Tak faham sungguh. Gila talak dia ni kot!

“Bagaimana dengan abang Johan? dia setuju ke?”. Manalah tahu suaminya pun sama gila talak juga.

“Johan tak mahu rujuk semula. Tu yang kerja-kerja banyak yang sangkut sebab modal tak cukup. Azlie Bhd. dah hentikan suntikan modalnya. Tak tahulah apa nak jadi dengan syarikat kami tu nanti. Alamatnya gulung tikarlah, lagi teruk syarikat kami kena ‘black list’. Sekarang ni Zarul dan Johan sedang usahakan buat pinjaman ataupun apa-apalah asalkan projek kami jalan, tapi….biasalah Arrah, kalau dalam susah bukannya ada orang nak tolong lebih-lebih lagi dalam bisnes ni, lagi ramai nak pijak kami dan nak tengok syarikat kami lingkup”. 

“Akak tak salahkan Johan sebab dari dahulu lagi Johan tak berapa setuju bila kami libatkan syarikat Azlie Bhd sebab takut ada masalah lebih-lebih lagi sejak Johan bercerai dengan Azreen tapi si Zarul tu yang degil. Sekarang ni bila dah jadi macam ni, siapa nak tolong?”. Sambung Asiyah lagi. Durrah hanya mampu mendengar, dia tidak pasti adakah dia mampu menolong mereka atau tidak.

“Kak, ada satu perkara Arrah nak tanya akak tentang abang Johan, Arrah harap akak cakap dengan jujur”. Aisyah menganggukkan kepalanya. Dia memberikan tumpuan sepenuhnya pada Durrah.

“Abang Johan ada hubungan lagi tak dengan Juita?”.Tanya Durrah.  Asiyah mengerutkan dahinya.

“Maksud Arrah, hubungan yang lebih dari rakan sekerja. Sebenarnya abang Johan pernah bercerita tentang hubungannya dengan Juita,  lagipun masa Arrah kat rumah akak tu Arrah tengok Juita lain macam aje bila dia pandang kami”. Sebenarnya Durrah malu untuk bertanya pada Asiyah tentang hubungan Johan dengan Juita tetapi dia terpaksa kerana tiada siapa lagi yang boleh dia bertanyakan tentang hal tersebut.

“Arrah, apa pun yang ada dalam fikiran Arrah tak sama apa yang sebenarnya berlaku”. Asiyah memulakan cerita. Badanya bergerak sedikit, mungkin mencari kedudukan yang lebih selesa untuk bercerita.

“Selepas Johan bercerai dengan Azreen, dia ada berkawan dengan Juita dan beberapa orang perempuan, mungkin untuk mencari pengganti Azreen ataupun untuk suka-suka, akak pun tak tahu sebab masa tu Johan sedang menghadapi krisis kewangan yang teruk jugalah,  tapi dengan Juita kami tengok dia macam ‘go steady’. Pada suatu hari Johan balik dari ‘out station’, dia ajak Juita keluar tapi Juita tak mahu sebab dia letih baru balik dari rumah keluarganya.

Lepas Johan telepon tu, si Farid anak  Dato’ Kamarul paksa Juita keluar nak bincang pasal projek mereka yang kat Damansara  malam tu juga sebab esok paginya si Farid nak berangkat ke Jepun. Juita terpaksalah pergi jumpa Farid, nama pun Sales Exec. kerjanya tak tentu masa. Nak jadi cerita, Johan terserempak dengan mereka. Apa lagi, angin satu badan lah kawan tu, berapi dia marah Juita. Lepastu dia terus putuskan hubungannya dengan Juita.

Johan dah berubah, dia menjadi seorang yang cemburu buta selepas dia bercerai dengan Azreen. Mungkin pengalamannya mengajar dia supaya lebih berhati-hati. Dahulu dia seorang yang ‘open minded’, cool aje. Frust menonggeng Juita, apa yang dia cakap semuanya Johan tak percaya. Kebetulan pada masa yang sama, emak Johan suruh Johan kahwin. Dia pun serahkan pada emaknya pasal Jodohnya.

Masa tu kelam-kabut juga kita orang sebab Juita tu orang kuat di Azlie Bhd. sampaikan si Farid terpaksalah jumpa Johan terangkan hal yang sebenarnya dia dengan Juita tak ada hubungan, hanya hubungan kerja. Johan pun tak berapa percaya sangat sebab sebelum tu pun dia ada dengar gongsip tentang Juita dan Farid. Ialah si Farid tu walaupun dah beristeri tapi dia kaya dan banyak duit, apatahlagi masa tu Johan sedang ‘pokai’, tentunya dia rasa rendah diri. Juita sendiri mengaku dengan akak yang dia sayangkan Johan dan hubungannya dengan Farid hanya pasal kerja sahaja walaupun memang nampak hubungan mereka agak rapat.

Waktu itu Johan dah tak boleh buat apa sebab emaknya dah dapat calon isteri untuknya. Johan tu egois, dia buat keputusan berani mati dan terima aje calon emaknya walaupun dia sendiri tidak kenal bakal isterinya dan dia pun sudah tahu yang sebenarnya Juita dan Farid tu tak ada hubungan yang istimewa. Akak masih ingat lagi kata-kata dia bila kami tanya dia, dia kata ‘aku serahkan diri aku pada takdir, jika inilah jodoh untuk aku, aku akan terima ianya walaupun dia seorang perempuan yang cacat’.”.terharu Durrah mendengarnya. Patut pun Juita masih lagi memandang Johan dengan pandangan kasih yang masih lagi bersisa.

“Selepas dia berkahwin dengan Arrah, dia dah jarang berhubungan dengan Juita kalau pasal kerja itupun seboleh mungkin dia akan elakkan. Zarul yang sekarang ni yang banyak ambil alih. Johan tahu Juita masih lagi sayangkan dia, sebab tu dia tak mahu ambil risiko. Johan sayang sangat kat Arrah, masa Arrah lari dari rumah dahulu, kami tengok dia macam orang tak betul aje, lebih-lebih lagi bila Arrah mengandungkan anak dia. Sebelum timbul masalah ni, tiap-tiap hari dia akan bercerita pada kami tentang Arrah dan baby, sampaikan Zarul kata kat dia ‘berbulu telinga aku’ tapi akak ketawa aje sebab akak tahu dia memang excited sangat dengan Arrah dan baby. Tapi sejak kebelakangan ini dia dah jadi macam ayam tertelan kapur barus”. Durrah tersengeh mendengar omelan Asiyah tentang suaminya. Dia juga terharu bila mengetahui yang Johan sangat sayang padanya dan baby mereka. Hatinya turut lega bila mengetahui hubungan Johan dengan Juita seperti kata Johan, senuanya cerita lama. Tetapi yang merunsingkan kepala Durrah sekarang ini bukannya hal Juita tetapi Azreen!


Durrah membelek-belek buku ‘Sikap Anda Adalah Diri Anda’ karya Nina Kirana terbitan Darul Nu’man. Dengan hati gundah gulana dia membaca tentang poligami.

‘Apa yang dibimbangkan kasih akan berbelah bahagi dan ranjang serta malam akan digilirkan?, sebab tanpa poligami pun belum tentu suami kita akan mengasihi kita seratus peratus sebab tanpa poligami juga belum tentu suami kita akan mengisi malamnya bersama kita seratus peratus.
Takut kekurangan wang dan ekonomi rumah tangga akan terjejas atau makan minum kita tidak dipedulikan? Apa pula jaminan tanpa bermadu kita hidup senang lenang serta selalu dimanjakan? Sedangkan ramai wanita yang tidak berrmadu rumahtangga mereka kucar kacir, hidup papa kedana dan bercerai-berai, malah ramai orang yang bermadu hidup mereka bahagia dan senang lenang. Malah secara kasar, menurut laporan, ramai orang yang monogamy juga sering bertelagah dan bercerai-berai.
Adalah lebih baik jika suami anda menikah lagi daripada dia berzina. Suami yang menikahi seorang isteri secara halal adalah seorang lelaki suci, yang diterima oleh masyarakat dan agama. Sebaliknya jika suami berzina dan menyimpan perempuan tentulah anda akan berasa malu, anak-anak akan berasa tidak senang kerana berayahkan seorang penzina.

Aduh! Bagaimana ni..

Dengan poligami, orang tidak akan mengatakan lelaki itu jahat. Jika seseorang isteri itu membenarkan suaminya beristeri lagi, dia tentunya seorang wanita yang hebat. Selain anda seorang wanita yang hebat, suami anda juga seorang lelaki yang hebat kerana dapat menunaikan tanggungjawab yang besar dalam satu masa.
Takut tidak di cintai lagi oleh suami?
Bukan suami tidak menyintai anda lagi, dalam dia menyayangi anda, dia juga ingin menyayangi permpuan lain iaitu isterinya. Bukan sayangnya itu dicabut dari hatinya dan diberikan kepada isteri yang lain, sayangnya tetap ada pada anda dan Cuma dia sudah membahagikan hari dan malamnya untuk anda.

Terangnya lagi…

Mungkin dengan cara membahagikan malam dan hari, anda dapat masa rehat yang panjang dan melakukan kerja-kerja yang lebih berfaedah lagi. Oleh itu and hendaklah bersangka baik dengan apa yang diberikan oleh Allah, kemudian mintalah darinya dengan hati yang redha dengan takdir yang telah diberikannya.
Dari awalnya memang sukar untuk anda menerima, tetapi hari yang berlalu akan mengajar anda segalanya, meneliti segalanya dengan baik.
Memang manusia memusuhi apa yang mereka tidak tahu seperti orang yang tidak pernah menyelam ke dasar lautan, tentu dia tidak percaya di sana bermacam-macam kehidupan, gunung, batu karang dan lembah. ikan yang berwarna warni. Oleh itu bila anda telah menjadi penyelam, anda akan mengerti segala-galanya.

Durrah menutup buku.

‘Memang bukan senang nak menyelam ke dalam dasar lautan, kena ada alat-alat menyelam dan segala kelengkapan, kalau main terjun sahaja tentunya akan mati kelemasan. Moral cerita, mesti ada ilmu untuk berpoligami’. Durrah menggaru-garu kepalanya. Sebagaimana serabutnya rambutnya begitulah berserabutnya otaknya juga di kala ini.

‘Aku mesti cuba, tapi….bolehkah perkara seberat ini boleh dibuat percubaan….Aaaaaaaa!!!! ya Allah, berikanlah aku petunjuk’. Durrah meraup mukanya.





No comments:

Post a Comment