wallpaper

RAMLAH MENCARI RAMLI

“Ramli….oh…Ramli…….”
“Ramli….Ramli…..”. Mana pula budak bertuah ni. Dah nak magrib pun tak balik-balik lagi, kalau main tu, tak ingat dunia dia ni”. Omel Ramlah. Ditangannya ada ranting kayu. Kalau dia berjumpa dengan si Ramli, maunya dia melibas ranting ini detengah belakang Ramli. Biar dia rasa serik. Nanti tidaklah dia degil lagi. Biar dia ingat dikepala otaknya itu, kalau pergi bermain, waktu petang sebelum magrib mesti pulang.
“Ha Dalip! Kau ada nanpak si Ramli?”. Tiba-tiba Ramlah terserempak dengan si Dalip yang baru pulang dari bermain.
“His budak sengal ni. Kalau tanya dengan dia serupa tak tanya. Bukannya reti nak jawab. Makan aje kerjanya”. Ramlah memarahi Dalip. Si Dalip hanya terkebil-kebil memandang Ramlah. Mulutnya masih lagi dipenuhi makanan.
“Ramli….oh Ramli…”. Hampir putus nyawa Ramlah dibuatnya. Sudah secerok kampung dia mencari namun tidak  seorang pun yang ternampak Ramli.
“Mak, macamana ni mak….dah pukul 12.00 mlm Ramli tak balik-balik lagi. Risaulah orang dibuatnya. Tak perrnah Ramli buat perangai macam ni. Kita report polis ajelah mak. Risaulah orang. entah dimanalah dia malam-malam buta ni”. Ramlah mengeluh. Sekali-sekala dia menyapu airmatanya.
“Nantilah kita bincang dengan bapak kamu dahulu. Sekejap lagi bapak kamu balik. Kalau nak report polis pun kena tunggu 24 jam dia hilang baru boleh report, kalau tak silap maklah. Entah-entah si Ramli tu merajuk kamu marah dia”. Ramlah membeliakkan matanya.
“24jam?. Mana boleh tunggu lama sangat mak. 2 jam pun boleh mati, inikan pula 24jam. Mana ada orang marah dia. Ramli tu bukannya mak tak tahu, sensitif sangat. Kalau orang marah dia sikit aje, menonong aje dia jalan. Macam tak ada perasaan…”. Ramlah menjeling emaknya bila emaknya ketawa.
“”Entahlah Melah, dah undang-undangnya macam tu. Sabar ajelah. Berdoa banyak-banyak supaya si Ramli tu selamat dan tidak diculik”. Ramlah memandang emaknya berjalan ke muka pintu.
“Ha Melah, kenapa tak tidur lagi?”.Roslan hairan melihat anak daranya duduk termenung di atas sofa macam orang mati laki.
“Ramli tak balik lagi pak, risaulah orang. orang ingat nak report polis aje tapi mak kata kena tunggu 24 jam…”Ramlah menggaru kepalanya yang telah sedia kusut.
“Aha, macamlah polis tu tak ada kerja lain. Tu kat papan kenyataan polis tu, bertambah gambar budak-budak hilang. Alah taulah dia balik nanti, tak ada siapa nak dia yang hitam legam tu..”. Ramlah tidak senang dengan jawapan dari bapaknya. Tak berperasaan langsung.
“Dah pergi masuk tidur. Jangan pula kau keluar cari Ramli malam-malam buta ni. Nanti Ramli balik, kau pula yang hilang. Kat luar tu hujan dah mula turun. Tak payahlah risau sangat,  taulah dia balik, dia bukan kecil lagi.”. Ramlah kesal dengan bapaknya. Sedari dahulu bapaknya tidak menyukai Ramli. Ramlah berjalan dengan lesu ke biliknya. Dia memandang keluar dari tepi jendela, hujan diluar mula menggila.
“Ya Allah, selamatkanlah Ramli. Selamatkanlah anakku”. Ramlah meraup mukanya yang basah. Dia menyayangi Ramli melebihi segalanya. Ramli sebahagian dari hidupnya.
Dia menjaga Ramli bagaikan anak sendiri. Dia akui, bukan sahaja bapaknya malahan orang lain juga tidak begitu menyenangi Ramli, anak yang tidak tahu keturunan itu. Dia sedar, Ramli anak yang tidak diketahui keturunannya. Tiada siapapun yang tahu jantan manakah yang telah membuntingkan emak Ramli.
Namun kasih Ramlah pada Ramli tidak memandang itu semua. Dia tidak peduli siapa bapa Ramli, dari mana asal usul Ramli. Yang dia tahu, dia perlu membesarkan Ramli dengan sebaik-baiknya. Dia benar-benar sayangkan Ramli.
Dia yang menyambut kelahiran Ramli dimalam hari, didalam hujan yang lebat. Bapaknya terjun dua mata tangga bila dikhabarkan, emak Ramli hendak bersalin. Mahu tak gabra Roslan dibuatnya, isteri sendiri bersalin pun ketar kepala lututnya. Tak senang duduk. Asyik-asyik dia kebilik air.
Emak Ramli meninggal dunia sewaktu melahirkan Ramli. Ramli kembar. Hanya dia sahaja yang selamat dilahirkan. Adiknya meninggal didalam perut emaknya. Emaknya juga meninggal sebelum sempat dibawa berjumpa dengan doktor. Diwaktu itu kampungnya banjir . Semua jalan dinaiki  air.
Apa yang Ramlah kesalan adalah keadaan dikampungnya. Tiap kali hujan lebat, tiap kali itulah banjir berlaku. Didalam akhbar dia hanya membaca berita, kerajaan memperuntukkan jutaan ringgit untuk mengatasi masalah banjir. Tapi hampa, sungai dikampungnya tiada perubahan pun. Yang ada hanyalah sungai di bandar yang semakin cantik untuk menghiburkan para pelancong. Ramlah hanya mampu mengeluh.
“Di mana kau Ramli? Dimana kau anakku?”. Ramlah melihat telapak tangannya. Tangan inilah yang membesarkan Ramli, tangan inilah yang menyapu minyak hijau keperut Ramli bila Ramli kembung sehinggakan serak suara Ramli menjerit kerana kepedihan. Manalah dia tahu menjaga anak yang sekecil itu.
“Makan Melah, jangan dipandang aje nasi goreng tu. Tak makan, mana nak ada tenaga nak cari Ramli nanti?. Bapaknya, cuba-cubalah awak  tolong carikan si Ramli tu. Kesian pula saya lihat si Melah ni”. Anak perempuan seorang, sayangnya melimpah ruah.
“Iyeleh…aku nak ke pekan dahulu. Nanti aku upah budak-budak kat kedai tu cari si Ramli”. Tanpa banyak cerita Roslan memberi kata putus. Malas dia hendak melayan kerenah anak perempuannya itu. Di hati tuanya bimbang, umur Ramlah semakin meningkat, manalah ada lelaki yang nak meminang si Ramlah jika dia asyik dengan si Ramli aje. tunangnya dahulu pun putus disebabkan Ramli.
‘Perangai macam budak-budak’. Dihatinya memarahi mereka berdua
“Emaknya….., lupa pula aku, berapa kilo kau pesan teh tadi?”. Ramlah hanya memandang emak dan bapaknya berbual-bual mesra dimuka pintu dapur. Mereka berdua kelihatan amat bahagia walaupun tanpa kata-kata dan panggilan yang manis dan manja seperti pasangan sekarang, sayang, darling,bebaie dan sebagainya. Kadang-kala pelik juga bila mendengar emak dan bapaknya memanggil emaknya bapaknya, emakkau bapakkau. Tak romantik langsung!
Benar kata orang. bahagia bukan terletak dimulut tetapi di hati. Apalah gunanya kata-kata manis tapi tak ikhlas. Dalam memanggil isteri sayang, tetapi dalam diam ada menjalinkan hubungan cinta dengan perempuan lain.
Ramlah mengeluh. Dia teringatkan Ramli. Tidurnya tak lena kerana Ramli. Makannya tak lalu kerana Ramli. Mandinya tak basah kerana Ramli. Semuanya kerana Ramli. Dia putus tunang dengan Zizan pun kerana Ramli juga.
Ada ke patut Zizan cemburukan dia dengan Ramli?. Zizan cemburu kerana Ramlah lebih mengutamakan Ramli dari dirinya. Memang pun patut Ramlah mengutamakan Ramli kerana dia masih lagi kecil diwaktu itu dan perlukan perhatian yang sewajarnya. Jika tidak Ramlah siapa lagi?. Emaknya telah tiada, bapanya, entah dia manakah dia.
Mengenangkan Zizan, hati Ramlah diusik rasa rindu dan sedih. Dalam marah dan benci, masih ada lagi sisa-sisa kasih. Mereka bercinta sedari sekolah lagi. Cinta mereka terputus ditengah jalan disebabkan Ramli.
Ramlah sedikit pun tidak mahu menyalahkan Ramli. Dia tidak sampai hati memberikan anak yatim itu kepada orang lain.  Walau orang ramai mengutuk Ramli itu hitam. Baginya hitam Ramli itu amat menawan, hitam berkilat. Matanya yang jernih dan redup itu terasa sayu bila ditatap. Suaranya yang mulai serak-serak basah itu amat menyenangkan telinga Ramlah.
“Meon, kau ada nampak Ramli?”. Seorang budak yang berkepala botak yang dipanggil Meon itu memberhentikan langkahnya. Dia menggaru-garu kepalanya yang botak itu dengan tangan kanannya. Tangan kirinya mengepit bola.
“Semalam ada dia kat tepi padang tengok kitaorang main bole. Bila Apit tersepak bola kena kepala dia, dia terus blah”. Ramlah mencekakkan pinggangnya. Meon menutup mulutnya  kerana terlepas cakap. dia tahu, Ramli itu anak emas si Ramlah. Jangan ada sesiapa pun yang menjentik Ramli. Nahas!
“Akak tahu kau kacau dia lagi, Nahas kau!”. Ugut Ramlah. Dia berlalu pergi. Dihatinya semakin risau. Tentunya si Ramli merajuk. Anak yatim itu merajuk. Anak yatim itu amat sensitif. Ramli suka melihat orang main bola sepak. Walaupun sudah bepuluh kali Ramlah melarangnya, dia tetap degil. Ramlah bimbang Ramli dibuli oleh budak-budak itu. Ialah, besar manalah badan Ramli kalau nak dibandingkan dengan badan si Meon dan kawan-kawannya.
“Ramli….Ramli….”.Sudah 2 hari Ramli hilang. Budak-budak yang diupah supaya mencari Ramli pun tak boleh diharap.
“Kita report polislah pak. Risaulah orang kalau-kalau diculiknya si Ramli tu…”. Ramlah berharap bapaknya bersetuju dengan cadangannya.
“Dah, jangan cari pasal. Nanti macam-macam polis tanya. Cerita yang sedikit jadi sedepa. Tak payahlah kamu risaukan si Ramli tu Melah. Dia anak jantan, nak juga kebebasan. Kau tu asyik berkepit aje dengan dia, lemaslah dia…”. Ramlah mula membuat muka.
“Non Ramlah, ada telepon. Katanya tuan Zizan”. Pembantu rumah memanggil Ramlah.
“Katakan saya tak ada”. Menyampah betul dia mendengar nama itu. Bulan lepas sepupunya ada bercerita yang Zizan membawa pulang perempuan dari kota. Ramlah bingkas bangun lalu dia berjalan keluar rumah. Dalam sayang ada benci. Dalam menyampah ada rindu. Pembantu rumah terpinga-pinga dengan kerenah anak tuannya itu.
“Bagaimana ni sik?”. Dia menggaru-garu kepalanya.


“Bapak nak bawa orang ke mana ni?” Ramlah kaget bila kereta bapaknya memasuki halaman rumah yang cukup dia kenali.
“Hei, dah lupa rumah siapa ni?”. Emaknya olok-olok bertanya.
“Alah, malaslah……”belumpun habis risaunya terhadap Ramli, bapaknya pula membawa dia kerumah bekas tunangnya. Dengan malas Ramlah turun dari kereta. Zizan tersengeh menanti. Dia menghulurkan salam lalu berjabat tangan dengan emak dan bapa Ramlah.
“Melah, apa khabar?”. Zizan berbasa-basi.
“Baik….”. hendak tak endak sahaja Ramlah menjawap.
“Melah, tak baik buat mcam tu…”. Ramlah tarik muka bila ditegur oleh emaknya. Roslan hanya mengelengkan kepala melihat perangai anaknya.
“Mak ayah kamu kemana Zizan?”. Tanya Roslan. Tiada nampak kelibat kereta bapaknya Zizan di garaj.
“Ayah ke pekan. Sekejap lagi dia balik. Mak ada kat dalam sedang mandikan anak kak Awie. Jemputlah naik makcik, pakcik”. Ramlah menepis tangan Zizan yang mencapai lengannya.
“Apa ni, ikut suka aje pegang orang. orang tak sukalah”. Tapi Zizan buat bodoh aje.
“Saya nak tunjukkan sesuatu kat awak…”. ibubapa mereka hanya mengelengkan telatah anak-anak mereka.
“Budak-budak tu dari dulu sampai sekarang tak habis-habis gaduh”. Kata emak si Ramlah.
“Kita kahwinkan aje mereka tu, habis cerita…”. Emak Zizan pula menjawab. Mereka bertiga pakat ketawa.
“Tu…tengok kat bawah pokok  tu….”. Segera mata Ramlah tercacap pada batang tubuh yang sedang enak bersantai dibawah pohon rambutan.
“Ramli………..”Pekik Ramlah. Dia berlari mendapatkan Ramli. Ramli terjaga bila mendengar namanya disebut. Dia menyondol-nyondolkan kepalanya diribaan Ramlah.. Ramlah mencium sepuas-puasnya muka Ramli.
“Ramli…mana kau pergi?. Puas aku cari kau. Aku ingatkan kau dah mati….”. Ramlah mengesat airmatanya. Dia berasa lega bila melihat Ramli masih hidup lagi dan sihat walafiat.
“Kau  tahu rupanya Ramli kat sini ye Dalip? Tak gunalah kau ni. Kenapa hari tu aku Tanya kau tak jawap?”. Berlekuk kepala  Dalip diketuk oleh Ramlah. Dalip terkebil-kebil memandang Ramlah. Mulutnya tak henti-henti mengunyah. Zizan ketawa mengekek.
“Apalah kau ni Melah, manalah si Dalip ni nak cakap, diakan kambing. Ramli pun kambing”. Zizan mengeleng-ngelengkan kepalanya. Kalau boleh semua binatang peliharaan, si Ramlah ni berikan nama manusia. Dahlah kucing kat rumahnya pun diberikan nama Eton.
“Eh! Ini kambing siapa ni Zizan?”. Ramlah menunjukkan kambing Jantan yang besar sedang melepak disebelah Ramli.
“Tu kambing jantan nak buat aqiqah untuk anak kak Awie lusa. Cuba Melah tengok rupa Ramli dengan kambing jantan ni…nak dekat sama kan? Bulu dia pun sama. Sama-sama hitam berkilat. Entah-entah ni bapak si Ramli tak?”. Ramlah membelek kedua-dua ekor kambing itu. Mencari persamaan tentang apa yang Zizan cakapkan tadi..
Confirm!
“Iyelah. Macam sama aje. Anak dengan bapak. Mana kak Awie beli kambing ni?”. Soal Ramlah.
“Dengan pak Leman, orang kampong awaklah”. Jawab Zizan..Fikiran  Ramlah menerawang tiba kerumah pak Leman dihujung kampong. Memang pak Leman ada membela seekor dua kambing. Tak sangka pula Ramli berbapakan kambing pak Leman.
“Pak Leman jual kambingnya sebab dia dah tak larat nak jaga”. Terang Zizan lagi. Memang pun Ramlah akui pak Leman sudah tua dan tidak begitu sihat.  Selama ini dia tidak pula ketahui yang pak Leman ada kambing jantan berwarna hitam yang sebesar ini.
“Dah sahlah tu. Memang betullah….”. Ramlah menggosok-gosok kepala Ramli. Tak sangka Ramli berjumpa dengan bapaknya dirumah Zizan pula tu. Walaupun berlainan kampong. Kampong mereka hanya dipisahkan oleh sebatang sungai. Sungainya pun ada jambatan.
“Kau dah jumpa bapak kau ek Ramli? Tapi sayang………”Ramlah menyapu airmatanya bila mengenangkan lusa bapak si Ramli akan disembelih.
“Biarlah dia kat sini dahulu Melah. Biar dia duduk  kat sini dengan bapaknya. Nanti sebelum aqiqah, saya hantar dia balik”. Ramlah menganggukkan kepalanya.
“Dalip? Kau pun tak nak balik?”. Soal Ramlah.
“Embikkkkk……”. Baru boleh degar suara Dalip.tentunya mulut Dalip telah kosong. Jika mulutnya penuh dengan rumput, jangan harap dia menyahut.
“Melah……saya nak cakap sikit dengan awak”. Ramlah berpaling mengedap Zizan. Sepintas lalu, matanya kembali memandang Ramli semula. Dia sengaja melarikan matanya dari Zizan, bimbang luka dihatinya yang mulai  sembuh, berdarah kembali.
“Melah, saya nak sambung semula hubungan kita yang terputus. Saya nak jadikan awak isteri saya. Saya minta maaf  atas kesalahan saya. Masa tu  fikiran saya masih lagi macam budak-budak”. Mata mereka berpadu. Ramlah mengelengkan kepalanya.
“Saya tak sesuai untuk awak Zizzan. Saya tahu awak ada kekasih kat Bandar sana. Lupakanlah saya, kita tak ada jodoh”. Ramlah mula melangkah tetapi langkahnya terhenti bila lengannya dipaut kuat.
“Memang, selepas kita putus, saya menjalinkan hubungan dengan perempuan lain tapi hati saya tak dapat mencintainya sebagaimana saya mencintai awak.  Saya masih lagi mencintai awak. Awak cinta pertama saya. Saya tak sesuai tinggal dibandar. Tempat saya disini, hati saya juga disini”. Sekali lagi mata mereka berpadu. Kata-kata ikhlas dari Zizan itu meresap jauh ke sanubari Ramlah.
“Saya tak dapat  lupakan awak Melah. Hati saya tak dapat menggantikan awak dengan perempuan lain. Cinta saya tak perrnah mati untuk awak. Walaupun saya cuba mencintai perempuan lain tapi….hati saya tak dapat menerimanya….”


Salim hanya memerhatikan emaknya yang tembam itu meletakkan punggungnya ditangga batu. Nasib baik tangga itu batu, kalau kayu, rasanya sudah lama kayu itu patah kerana tidak mampu menampung keberatan punggung emaknya itu.
“Sibuk nampaknya mak? Mengalahkan anak mak yang nak kahwin”. Salim mula mengusik emaknya. Dia menyandarkan badannya yang tak berbaju itu pada tiang dianjung rumahnya.
“Mananya mak tak sibuk. Anak taukeh mak yang nak kahwin. Merangkap menantu tak jadi mak. Hai…untung si Zizan tu. Kau yang tolak tuah”. Niat dihati dia hendak mengusik emaknya, rupanya dia sendiri yang terusik. Pernah dahulu emaknya cuba menjodohkan dia dengan Ramlah tapi dia menolak.
“Apa tema perkahwinan si Melah tu mak?”. Terpandang juga berbagai warna hemah di halaman rumah si Melah. Ada 8 buah khemah. Ada merah, hijau,biru,oren,pink pun ada.
“Hantam sajalah labu………”. Mengekek Salim ketawa.
“Ketawa pula dia. Betul…,kalau kau tak percaya cakap mak, cuba kau ambil kad kahwin si Melah kat atas TV kat dalam tu”.  Tanpa berlengah Salim ke dalam rumah. Ketawanya kedengaran semula. Namun dihatinya mengangumi kad tersebut. Simple tetapi kretif. Pasti si Ramlah yang buat sendiri. Si Ramlah seorang yang berjiwa seni dan kretif. Sewaktu disekolah dahulu dia selalu memenangi pertandingan karya seni yang dipertandingkan diperingkat sekolah. Dia mengelengkan kepala. Zaman sekarang semua orang sibukkan dengan tema perkahwinan. Untuk menentukan tema sahaja ada yang sampai setengah tahun, sampai yang bergaduh dan bermasam muka. Persiapan untuk majlis sahaja makan setahun. Tapi sayangnya ada yang perkahwinan tak sampai pun setahun usianya. Mana yang silap.
“Kad tu, si Melah dan Zizan sendiri yang buat. Tak payah buang duit beribu-ribu sebab nak tempah kad. Buat mahal pun, lepas orang baca kad tu, kat bakul sampah juga tempatnya.” Salim tersengeh. Dia masih lagi membelek kad tersebut. Ada wajah Ramlah dan Zizan di hadapan kad itu, walaupun hanya gambaran karton, wajah yang digambarkan seperti wajah Ramah dan Zizan. Zizan semakin gagah dan matang, tidak seperrti wajah Zizan masa sekolah dahulu, kurus kering. Panjang rupanya jodoh mereka. Mereka bercinta sejak dibangku sekolah lagi. Putus. Akhirnya jodoh mereka sebagai suami isteri.
“Besar kenduri kahwinya ye mak?”. Salim melipatkan semula sampul kad tersebut lalu diselitkan dicelah dinding disebelahnya.
“Mananya tak besar, 8 kemah tu, 3 ekor lembu yang tumbang. Lembunya bukannya kurus, gemok-gemok. Lagipun si Roslan tu orang berduit. Banyak kawan dan saudara mara. Dia pun tak kedekut. Molek benarlah dia buat kenduri itu besar-besaran. Lagipun dia mana ada anak perempuan lagi. Ramlah tulah seorang anak perempuannya. Nak harapkan si Ramlan tu, dia sekolah lagi, entah bilalah jodohnya.”. Salim memerhatikan emaknya mengibas-ngibas belakanganya dengan tudung yang dipakai. Tudung yang sepatutnya dikepala sudah berpindah ke peha.
“Untung Melah. Lepas nikah sahaja petang tadi, dia dah salin 5 helai pakaian. Esok 10 pakaian khabarnya, malam ni entah berapa pula”. Salim hanya mendengar emaknya berceloteh. Adat orang Melaka. Pengantin akan dipakaikan berbagai pakaian mengikut Negara atau bangsa. Macam-macam pakaian ada, ada pakain sari,congsam,jawa,korea,jepun pendek kata semua Negara ada. Tempat lain ada ke?
“Banyak duit pakcik Roslan tu mak. Orang tengok tak adalah maju mana kedai dia kat pekan tu. Bukanya pun macam waku pejabat 8.00 pagi sampai 5.00 petang. Waktu tengahari aje yang ramai orang, tapi tak adalah ramai macam kedai mamak kat KL tu. Selalunya orang tak nampak pun pakcik Roslan kat kedai tu”. Hairan juga dia. Lagipun setiap kali dia ke kedai itu menjemput emaknya, jarang sekali dia melihat pakcik Roslan. Yang ada hanya isterinya dan pembantu perempuan Indonesia dan emaknya yang bekerja sebagai pembancuh air. Perempuan Indonesia itu bekerja sebagai tukang kemas dan mencuci pinggan mangkuk. Waktu tengahari si Ramlah datang membantu.
“Memang pun si Roslan tu mana ada tolong sangat. Dia buat kedai tu tempat perjumpaan aje. Macam orang kata ‘pot’ dia aje…”Salim menerutkan muka. Ada cerita yang dia tak tahu. Almaklumlah dia sudah lama meninggalkan kampong halaman. Bekerja di Shah Alam. Jarang sekali balik ke kampong.
“Pakcik Roslan buat kerja apa mak?”. Dia tidak sabar untuk mengetahuinya.
“Belukau…”. Terang emaknya. Dia semakin tak faham.
“Apa belukau tu?”.
“Orang kampong cakap belukau…tak tahu pula mak orang bandar cakap apa. Alah,…dia jadi orang tengah dalam jual beli tanah…”. Mengekek Salim ketawa.
“Brokerlah mak…patut pun dia banyak duit…”. Broker tanah rupanya pakcik Roslan tu. Dahulu dia tak adalah nampak senang seperrti sekarang. Dahulu hidup keluarga pakcik Roslan sama dengan hidup Salim sekeluarga sewaktu ayahnya masih ada. Hidup sederhana. Sekarang hidup pakcik Salim telah berubah. Berumah banglo dan berkereta luar Negara.
“Kau aje yang tolak tuah. Mak jodohkan kau dengan si Melah tu, kau kata dia busuk asyik main dengan kambing aje. Tak cantik macam perempuan Indon kau tu. Sapa nama perempuan tu?”. Salim garu kepala.
“Cinta”. Nama itu keluar dengan sendirinya. Telah lama nama itu tidak keluar dari mulutnya. Setiap kali nama itu keluar, setiap kali itulah hatinya merintih pedih.
“Cinta? Piuh!”. Melepek  ludah emaknya jatuh ketanah.
“Itulah balasan orang yang tak dengar cakap emaknya. Mana perginya ‘cinta’ kau sekarang ni? Dah dia kebas duit kau RM10,000.00 , dia dah lari balik tempat dia kan? Dengan mak kau berkira nak bagi duit, tapi dengan perempuan macam tu, senang aje kau bagi dia duit ek? Dah tak ada duit, motor pun tak ada, kerja pun dah tak ada…apa pun dah tak ada. Dah tinggal badan aje sekeping macam ni, pandai pula kau cari emak kau ni kat kampong ek?. Dahulu, ingat emak pun kau tak nak. Beli handpone punyalah mahal, apa orang kata? Bak beri? (Blackbery) tapi nak telepon mak sebulan sekali pun susah”. Benar kata emaknya itu. Dia asyik sibuk dengan ‘Cintanya’ sehinggakan dia lupa dengan emaknya sendiri dan lupa tanggungjawb terhadap emaknya.
‘Cinta’ adalah seorang tukang cuci di kilang tempat dia bekerja. Dia tidak kisah dengan kerja ‘cinta’ walaupun kerja cinta hanya membersihkan longkang dan tandas juga menyapu sampah didalam kawasan kilangnya. Dia terpaut hati dengan senyum manis dan kata-kata lembut gadis itu. Hampir setahun menyemai kasih, banyak wangnya dihabiskan untuk membeli cinta ‘Cinta’. Dan yang terakhir sekali dia membuat ‘loan’  RM10,000.00 dengan mencagarkan motor kesayangannya untuk memberi Cinta membuat persediaan perkahwinan mereka di kampong perempuan itu. Malang nasibnya. Cinta hilang bersama-sama dengan wang tersebut. Puas dia mencari. Sehingga membawa dia ke Indonesia. Malah dia terperanjat bila diberitahu yang Cinta itu isteri orang dan telah ke Malaysia semula mengikut suaminya.
Bagaikan pokok menghempap kepalanya. Perempuan yang dia kendong kehulu-kehilir itu isteri orang. Patut pun Cinta tak kisah untuk di bawa ke bilik tidur. Akibat dari kesibukan dia mencari kerja dan selalu ponteng kerja, dia telah diberhentkan kerja.
“Mak bukannya memilh menantu, cukuplah perempuan itu perempuan yang baik dan boleh dijadikan isteri, sama-sama dalam susah dan senang. Perempuan yang ada agama. Pakcik Roslan kau pun dahulu tak kisah bila mak nak jodoh kan kau dengan Melah bila Melah dah putus tunang dengan si Zizan dulu. Walaupun dia dah jadi orang senang, dia tak pandang rendah keluarga kita. Melah dan mereka sekeluarga yang banyak bantu mak. Nak harap kau, kau tak ingat mak. Kakak kau pun sibuk dengan keluarganya. Melahlah yang selalu jenguk mak kalau mak sakit. Dia anak yang baik.
Rezeki dia pun murah aje. Sekarang ni dia dah jadi usahawan wanita. Dia beli kraftangan yang orang kampong ni buat, dia jual dalam internet. Sampai orang luar Negara pun ada beli. Pandai budak tu buat duit. Walaupun tak sekolah tinggi dan jaga kambing aje, dia mampu beli kereta Perdana. Kau tu apa ada ? motor buruk pun tak ade…..”Memang perit. Tetapi apa yang emak dia cakapkan itu ada benarnya.
“Sudahlah Salim….benda lepas jangan dikenang. Masih ada harapan untuk hari esok”. Bermadah pula emaknya itu. Salim tersengeh.
“Tentang “Cinta’ kau tu, mak doakan dia mati ditelan dek bumi masa gempa bumi atupun kena Tsunami….kat sana tu memang selalu gempa bumi dan gunung berapi meletupkan?”. Salim mengerutkan dahinya.
“Mak dah cakap dengan si Roslan nak sewa tanah dia yang kat baroh tu, kita tanam jagung. Orang kat Chabau tanam jagung  seekar dapat RM3,000 sekali tuai. Berbakti pada tanah, insyaallah akan ada hasilnya. Berbakti pada orang sahaja, banyak yang tak berguna”. Dalam baik dia terkena lagi.
“Tanah yang kat belakang rumah tu kita buat kandang kambing. Duit mak ada sikit, kita beli  kambing. Pakcik Roslan kamu nak bagi beberapa ekor kambing dan anak kambing dia yang Ramlah bela. Si Melah dah setuju. Rumah lama yang pakcik Roslan kamu robohkan tu dia nak bagi kita buat reban kambing. Alhamdulillah, dia banyak menolong kita. Nanti, Batang-batang jagung kita tu pun boleh buat makanan kambing selepas kita tuai hasil”. Panjang pula angan-angan emaknya. Dalam hati dia bersyukur pakcik Roslan sekeluarga banyak membantu mereka sekeluarga. Pakcik Roslan adalah kawan baik arwah ayahnya.


Ramlah membelek-belek kukunya yang berinai. Dia macam tak percaya, jodoh mereka masih ada. Dia tersenyum sendiri.
“Apa yang Melah senyum sorang-sorang tu?”. Ramlah menutup mulutnya. Malu sendiri. Dia bersama dengan Zizan sebentar tadi. Selepas upacara persandingan ‘malam berinai’ mereka terus ke bilik ini.
“Tak ada apa-apalah…”. Zizan tersenyum. Dia merapatkan wajahnya ke wajah Ramlah.
“Terimakasih sayang sebab sudi jadi isteri saya. Semoga perkahwinan ini berpanjangan sehingga ke akhir hayat”. Belum sempat dia meneruskan kata-kata pintu biliknya telah diketuk orang. Kacau daun!
“Hoi pengantin! Dah jangan nak buat drama malam ni…kat luar tu masih lagi ramai orang”. Sakatt si pengapit. Mereka berdua ketawa.
“Alah, sekejap aaa…”. Pinta Zizan.
“O.k, 5 minit aje…sabarlah sikit. Esok-esok kan ada lagi….”. sakatnya lagi.
“Abang balik dululah Melah, esok bang datang lagi. Ramli abang dah beri makan. Berbaloi rupanya Ramlah mencari Ramli. Bukan Ramli sahaja yang Melah dapat, abang pun Melah dapat”. Zizan segaja mengusik isterinya. Memang pun sewaktu dia berjumpa dengan Ramli yang sedang merayau-rayau seorang diri, hatinya semakin teringatkan Ramlah. Teringatkan cinta yang mereka semai sedari bangku sekolah lagi.
Mereka berdua ketawa. Semoga mereka bahagia hingga ke akhir usia.

ALHAMDULILLAH SETELAH HAMPIR 2 BULAN (TAMAT PADA 31.10.2013) 'RAMLAH MENCARI RAMLI' KELUAR DI P2U, LEBIH 10,000 ORANG SUDAH MELEWATINYA DENGAN LEBIH 20 ULASAN DARI PEMBACA. http://www.penulisan2u.my/2013/09/cerpen-ramlah-mencari-ramli/

2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
    Replies
    1. http://www.penulisan2u.my/2013/09/cerpen-ramlah-mencari-ramli/

      Delete